Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Persatuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF) hari ini mengadakan majlis penghargaan yang berlangsung di Brunei Hotel di sini.
Hadir ke majlis itu ialah Presiden BDAF, Kifli Haji Ja’afar yang turut menyampaikan ucapan di awal majlis dengan menyatakan rasa berbesar hatinya mewakili persatuan atas pencapaian dan peningkatan yang ditunjukkan oleh atlet olahraga negara.
“Saya berharap para atlet akan terus berusaha dalam latihan dan tidak berputus usaha untuk memperbaiki rekod peribadi, sekali gus mula merangka persiapan ke Sukan Asia Tenggara (SEA) 2019 di Manila, Filipina dua tahun akan datang selain membuat sasaran bagi penyertaan Sukan Komanwel di Australia nanti,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan harapan agar para jurulatih juga terus proaktif bersama persatuan dan tidak sekadar berpuas hati dengan penyertaan 100 meter dan 4×100 meter sahaja, sebelum menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada atlet Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini.

Menerima sijil penghargaan adalah barisan pelumba 4×100 negara yang memecahkan rekod kebangsaan iaitu dengan masa 40.21 saat, yang dicapai oleh Mohd Fakri bin Ismail, Mohd Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris, Mohd Faaizul bin Abdulah, Abdul Rahim bin Abdullah dan Mohd Asy-Syafi’e bin Bohari.
Mohd Noor Firdaus Ar-Rasyid turut menerima sijil dan sagu hati atas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 200 meter dengan catatan masa 21.39s.