BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Persekutuan Radio Amatur Brunei Darussalam (BDARA) mengadakan Majlis Pelancaran Special Call Station V84SRU bersempena dengan sambutan International Amateur Radio Union (IARU) ke-100 tahun buat julung kalinya yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang DiPertua, Presiden IARU Region 3, Wisnu Wijaya – YB0AZ dari Republik Indonesia.
Turut hadir bagi menjayakan majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Puan Dyg Ruhaidah Binti Haji Rusli; Yang DiPertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka AR Hj Idris Bin Hj Abas; Ketua Eksekutif Autoriti Info-komunikasi Teknologi Industri Brunei Darussalam (AITI), Hj Jailani bin Hj Buntar, para pegawai Jabatan Bomba Dan Penyelamat dan 35 ahli BDARA.
Sejarah awal International Amateur Radio Union (IARU) mula ditubuhkan seawal tahun 1925 di Perancis dan selang dua tahun kemudian, ibu pejabat IARU berpindah ke Washington, Amerika Syarikat serta bergabung dengan International Telecommunication Union (ITU).
Tugas dan tanggungjawap IARU adalah memperuntukkan serta menetapkan spektrum frekuensi-frekuensi radio amatur, struktur polisi dan hala tuju organisasi pada masa akan datang.
Persekutuan BDARA pula adalah salah sebuah organisasi radio amatur di bawah IARU Region 3 bersama-sama dengan persatuan-persatuan radio amatur di Asia Pasifik.
Semua di atas: Antara suasana majlis pelancaran tersebut. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BDARA

