Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDARA terima kunjungan MARTS

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Ahli Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) semalam menerima kunjungan dari rombongan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) yang berada di negara ini dari 19 hingga 21 Ogos.

    Lawatan rombongan MARTS yang diketuai oleh Ketua MARTS, Awang Salehan bin Din dialu-alukan oleh Timbalan Yang Di-Pertua BDARA, Mejar (B) Haji Tamat Lampoh.

    Lawatan tersebut adalah lawatan kerjasama bagi berkongsi maklumat dan pendapat mengenai teknologi radio terkini sebagai tanda kerjasama di antara kedua buah pihak. Selain mengadakan lawatan ke Pejabat BDARA, rombongan juga turut dibawa melawat ke Kampong Ayer dan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja.

    Persekutuan BDARA pada waktu ini juga mengendalikan kelas bagi belia-belia yang ingin mengambil peperiksaan untuk mendapatkan lesen amatur radio dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) sepanjang tahun 2017.

    Persekutuan BDARA juga berharap belia-belia negara yang mempunyai minat dalam bidang ini supaya sama-sama menabur khikmat bakti kepada negara dan memperkenalkan Negara Brunei Darussalam ke seluruh dunia melalui amatur radio.

    Gambar ramai ahli BDARA bersama MARTS semasa mereka berada Brunei Darussalam.

    Persekutuan BDARA yang merupakan satu sebuah persekutuan organisasi bukan berunsurkan keuntungan sudah bergiat aktif sejak tahun 2008, apabila persekutuan ini diaktifkan semula oleh ahli jawatankuasa yang baru menerajui persekutuan ini.

    Persekutuan ini juga bergiat aktif dalam kerja kemasyarakatan dan membantu pihak jabatan-jabatan kerajaan dan swasta dalam sama-sama memberi bantuan perhubungan semasa menjalankan kerja amal seperti larian amal dan aktiviti yang memerlukan bantuan perhubungan. Persekutuan BDARA juga merupakan salah sebuah pertubuhan kerjasama dengan pusat bencana alam negara, dalam sama-sama menangani bencana alam jika berlaku kecemasan.

    BDARA kini mempunyai 60 orang ahli yang hampir keseluruhannya terdiri daripada kalangan dewasa. Sebahagiannya berkhidmat dengan jabatan kerajaan, swasta dan pesara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda