Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa BDCB mengambil perhatian mengenai rakaman baru-baru ini yang mendakwa pemindahan dana tanpa kebenaran dari akaun bank seorang individu yang telah tular di pelbagai platform media sosial di negara ini.
Dalam hubungan itu, BDCB sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pihak yang berkaitan dan akan bertindak sewajarnya untuk mengurangkan sebarang impak kepada pelanggan bank dan sektor kewangan secara menyeluruh.
BDCB turut menyatakan bahawa memastikan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan menjaga sistem kewangannya merupakan keutamaan BDCB, termasuk memberi keyakinan dan melindungi kepentingan orang ramai.
Dalam memenuhi mandat berkenaan, BDCB melaksanakan dasar-dasar serta langkah-langkah untuk mengukuhkan pengurusan risiko dan kawalan dalaman bank-bank dan institusi-institusi kewangan.
Dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam sektor kewangan, BDCB menekankan kepentingan terhadap keperluan untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko-risiko yang berkaitan dengan teknologi.
Ke arah itu, bank-bank dan institusi-institusi kewangan adalah dikehendaki untuk sentiasa mengukuhkan sistem keselamatan mereka.
BDCB tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana bank dan institusi kewangan yang melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh BDCB.
Pada masa yang sama, BDCB memohon kerjasama orang ramai untuk menggunakan perbankan digital dengan penuh bertanggungjawab dan sentiasa memastikan keselamatan maklumat peribadi dan kewangan serta melindungi peranti pintar mereka.
Orang ramai boleh menghubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di talian +673 8380007 pada waktu pejabat atau e-mel fci@bdcb.gov.bn jika aduan yang dihadapkan kepada institusi kewangan tidak diselesaikan dengan sempurna, atau membuat laporan dengan Pasukan Polis Diraja Brunei sekiranya mereka telah menjadi mangsa aktiviti penipuan.