Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini, menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Mengenai Sistem Pembayaran dan Penyelesaian (WC-PSS) ASEAN ke-29 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh BDCB dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu diadakan dalam format hibrid.
Mesyuarat itu dihadiri oleh wakil-wakil daripada BDCB, National Bank of Cambodia, Bank Indonesia, Bank of the Lao PDR, BNM, Central Bank of Myanmar, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore, Bank of Thailand, State Bank of Vietnam dan penceramah-penceramah jemputan daripada Ant International, Program Perkongsian ASEAN-USAID, BIS Innovation Hub Singapore Centre dan ASEAN Bankers Association.
WC-PSS, yang ditubuhkan pada 2010, adalah jawatankuasa kerja yang ditugaskan untuk menjalankan kajian dan menyediakan cadangan dasar untuk pembangunan, kerjasama dan penyelarasan sistem penyelesaian pembayaran atau payment settlement system (PSS) ASEAN untuk menyokong Komuniti Ekonomi ASEAN.
Jawatankuasa itu pada masa ini memberi tumpuan untuk memudahkan kesalinghubungan rentas sempadan, dengan penekanan khusus pada sistem-sistem pembayaran runcit masa nyata.