Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDCB, Kementerian Pendidikan tingkat celik kewangan pelajar

    Oleh Sim Y.H. –

    BELAIT, 11 JUN – Dalam usaha untuk meningkatkan tahap celik kewangan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah rendah, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Kementerian Pendidikan mengadakan Jerayawara Kesedaran Kewangan yang kedua di Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut, Belait, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir ialah pegawai-pegawai daripada Kementerian Pendidikan dan BDCB.

    Jerayawara berkenaan dihadiri oleh lebih 430 orang pelajar Tahun 3 hingga 5 dari sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Para pelajar berpeluang mempelajari topik-topik kewangan seperti menabung, takaful dan insurans, perancangan persaraan serta perlindungan pengguna kewangan melalui aktiviti-aktiviti interaktif.

    Jerayawara itu bermatlamat meningkatkan tahap celik kewangan dan kefahaman mengenai peranan serta tanggungjawab BDCB. Program jangkauan itu memastikan pelajar dari keempat-empat daerah menerima pendedahan awal kepada kemahiran dan pengetahuan pengurusan kewangan yang sesuai dengan usia mereka.

    Ia dijayakan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Bank Baiduri, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd.

    Tiga lagi jerayawara akan diadakan sempena Hari Menabung Kebangsaan 2024 yang disasarkan bagi penuntut-penuntut di sekolah rendah khususnya dari Tahun 3 hingga 5.

    Jerayawara seterusnya akan diadakan di Sekolah Rendah Rataie, Mukim Bokok, Temburong pada 13 Jun, diikuti dengan di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong pada 27 Jun dan terakhir di PTE Sengkurong pada 3 Julai.

    Pesta Kewangan juga akan diadakan di Jerudong Park Playground pada Ogos nanti di mana ia akan menampilkan pelbagai program serta aktiviti pendidikan kewangan yang sesuai untuk seisi keluarga.

    Para pelajar ketika menghadiri dan menyertai aktiviti dalam jerayawara di Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut, Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda