Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDCB kongsi ciri keselamatan wang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Seramai kira-kira 170 orang dari agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi kewangan termasuk bank, perniagaan menukar wang dan mengirim wang, sektor swasta serta perniagaan runcit telah menyertai siri taklimat, Kenali Mata Wang Awda, yang dikendalikan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Bahagian Jenayah Komersial, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), baru-baru ini.

    Taklimat itu bertujuan untuk memberigakan serta meningkatkan tahap kefahaman mengenai Perintah Mata Wang, 2004 iaitu perundangan yang diperuntukkan untuk mentadbir mata wang Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, BDCB juga mengongsikan ciri-ciri keselamatan bagi denominasi yang berbeza serta cara-cara untuk mengenal pasti ketulenan mata wang.

    Pihak PPDB juga mengongsikan langkah-langkah yang perlu diambil jika individu mendapati mata wang palsu atau mata wang yang disyaki palsu.

    Dalam usaha untuk memastikan keyakinan orang ramai terhadap mata wang Negara Brunei Darussalam serta menangani isu berkaitan mata wang palsu, BDCB mengendalikan pelbagai inisiatif kesedaran secara berterusan berhubung kait ciri-ciri keselamatan yang tersedia pada mata wang termasuk syiling.

    BDCB juga bertanggungjawab untuk memastikan mata wang dalam edaran adalah berkualiti.

    Di samping itu, BDCB akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di negara ini di mana ia adalah selaras dengan usaha berterusan BDCB untuk meningkatkan tahap celik kewangan di negara ini.

    Mana-mana institusi yang ingin memohon program celik kewangan yang sama atau program yang disesuaikan kepada institusi masing-masing, boleh menghubungi BDCB di talian 8318388 atau e-mel kepada info@bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda