Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan akan mengeluarkan duit syiling edaran dengan komposisi logam baharu yang akan diperbuat daripada monoply plated steel berbanding dengan duit syiling edaran pada masa ini yang diperbuat daripada logam homogenous kupronikel.
Duit syiling baharu itu merupakan besi yang disaluti dengan lapisan logam menggunakan teknologi salutan yang akan memastikan kedayatahanan, kekukuhan serta keselamatan duit syiling berkenaan.
Saiz, berat dan reka bentuk bagi duit syiling baharu itu adalah sama seperti duit syiling yang dalam edaran sekarang. Kesemua edisi duit syiling edaran dari sebelum ini masih sah diperlakukan dan boleh terus digunakan bersama duit syiling yang baharu.
Sebagai pengeluar mata wang Negara Brunei Darussalam, BDCB akan sentiasa memastikan mata wang dan duit syiling dalam edaran adalah berkualiti tinggi, berdayatahan, kukuh serta selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn atau ikuti akaun instagram BDCB, @centralbank.brunei.