BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) adalah 49.9 bagi April 2024, bermakna ia menjangka keadaan perniagaan di sektor swasta sedikit merosot berbanding dengan bulan sebelumnya.
Sesetengah perniagaan mengongsikan sentimen optimistik dengan jangkaan promosi Hari Raya Aidilfitri dan kembalinya waktu bekerja seperti biasa selepas bulan Ramadan akan meningkatkan aktiviti perniagaan pada bulan April 2024.
Walau bagaimanapun, sebahagian perniagaan mengongsikan kebimbangan mengenai kekurangan projek-projek dan kelembapan permintaan pengguna disebabkan oleh jangkaan kesibukan menghadiri acara-acara sambutan Hari Raya Aidilfitri atau melancong ke luar negara semasa musim percutian sekolah.
Dapatan ini adalah daripada laporan BSI bagi Negara Brunei Darussalam untuk April 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.
Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik ke atas hampir 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, Sub-indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi bulan April 2024, 50.3 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.2 bagi tiga bulan ke hadapan. Ia menunjukkan secara amnya para peniaga merancang untuk meningkatkan tahap pelaburan pada bulan April dan beberapa bulan akan datang.
Kebanyakan peniaga merancang pelaburan mereka dari pelbagai aspek termasuk pembelian kenderaan, peralatan dan mesin baharu, pengubahsuaian premis perniagaan, pembukaan cawangan baharu, menaik taraf sistem dan infrastruktur IT, dan penambahan stok dan inventori.
Bagi Sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.1 bagi bulan April 2024, dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan. Seperti trend sebelumnya, peniaga akan menambah pekerja untuk menggantikan pekerja yang berhenti dan memastikan pekerja mencukupi, selaras dengan rancangan mengembangkan perniagaan.