Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU) di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Menerusi MoU berkenaan, ia bertujuan untuk mewujudkan kerjasama rasmi dalam beberapa bidang termasuk penyelidikan, penerbitan bahan-bahan penyelidikan, pembangunan kapasiti, pertukaran maklumat dan data, penganjuran acara, serta inisiatif-inisiatif lain yang boleh memanfaatkan kedua-dua organisasi.
Sehubungan itu hadir bagi menyempurnakan sesi penandatanganan MoU tersebut ialah Pengarah Urusan, BDCB, Hajah Rashidah binti Haji Sabtu dan Naib Canselor, UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle. Pertukaran dokumen MoU telah diadakan semasa majlis pembukaan rasmi persidangan pertama UBD mengenai Kewangan Islam dan Kelestarian (ICIFS 2025).
MoU itu menandakan permulaan kerjasama antara BDCB dan UBD serta menggariskan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong dan menyumbang kepada aspirasi Wawasan Brunei 2035.