Thursday, September 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDCB: Waspada penipuan minta wang dalam talian

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Berikutan dengan penyamaran akaun Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) melalui aplikasi Telegram untuk meminjamkan wang kepada orang awam, BDCB hari ini memaklumkan dan menekankan bahawa pihaknya tidak akan sekali-kali meminta wang daripada orang ramai atau meminjamkannya.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang entiti yang menipu dengan menyalahgunakan nama dan logo BDCB untuk memperdaya mangsa mereka.

    Menurut kenyataan, BDCB ingin menekankan sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB tanpa kebenaran bertulis yang bertujuan sama ada untuk memperdaya, menipu, menyebabkan kekeliruan adalah merupakan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah BDCB, 2010, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh (7) tahun, atau kedua-duanya sekali.

    Dalam hal ini, BDCB ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak berurusan dengan sebarang entiti dalam talian tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan kewangan.

    Orang ramai yang ingin membuat pinjaman atau pembiayaan kewangan dinasihatkan untuk terus berurusan dengan bank-bank dan syarikat kewangan yang berlesen. Senarai institusi-institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List boleh didapati di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn.

    Orang ramai turut dinasihatkan untuk membuat laporan dengan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei di balai polis berhampiran, atau melalui 993 jika telah menjadi mangsa aktiviti kewangan yang tidak berlesen.

    Di samping itu, orang ramai juga boleh memaklumkan pihak BDCB mengenai sebarang entiti atau individu yang disyaki menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen dengan menghubungi lsu Pengguna Kewangan, BDCB di 8380007 atau emel fci@bdcb.gov.bn.

    BDCB akan terus mementingkan kestabilan kewangan domestik dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan serta kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam. BDCB, dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan, juga sentiasa memantau aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda