Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (BDCIIF) 2024 buat julung kalinya diadakan sebagai acara ilmiah yang mengetengahkan penulisan kaligrafi Islam di Negara Brunei Darussalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yusof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam sembah alu-aluan antara lain menyembahkan tujuan mahrajan.
“Pendekatan usaha murni ini juga dapat memberikan sinergi ini adalah juga sebagai usaha ke arah mencapai Matlamat Pertama Wawasan Negara Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dan penduduk yang mempunyai kemahiran dan kepakaran tinggi dan dalam konteks ini ialah melalui penguasaan penulisan khat”
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyembahkan, BDCIIF ini mengandungi pelbagai pengisian yang bersifat ilmiah.
“Ini antaranya pembentangan kertas kerja daripada beberapa orang pakar kaligrafi dalam dan luar negara termasuk bengkel tunjuk ajar jenis-jenis tulisan khat dan juga seni reka lakaran Islam,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Selain itu, acara BDCIIF dengan kerjasama pihak IRCICA juga diserikan dengan pertandingan seni khat peringkat serantau Asia, yang mana sebanyak 114 buah penyertaan telah diterima dari 12 buah negara Asia yang termasuklah negara Jepun, Republik Islam Pakistan dan Republik Uzbekistan.
Katanya lagi, “Selain daripada orang ramai yang akan hadir ke acara ini, beberapa perwakilan dari persatuan-persatuan dan institusi pengajian yang berhubung kait dengan kaligrafi Islam, juga hadir bagi menimba dan berkongsi ilmu melalui sesi pembentangan dan bengkel yang berlangsung selama tiga hari.
“Dapatan daripada pembentangan-pembentangan dan juga bengkel-bengkel itu nanti akan dibukukan dan menjadi sebagai salah satu sumber rujukan ilmiah dan pengkajian ke arah usaha memperkembangkan lagi penulisan kaligrafi Islam di Negara Brunei Darussalam khususnya dan ke seluruh pelosok dunia amnya,” jelasnya.