Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDF 2020 kembali lebih menarik

    Oleh Aziz Idris

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Festival Disember Brunei (BDF) 2020 akan kembali untuk tahun keempat berturut-turut, memaparkan pelbagai acara dan aktiviti sepanjang bulan Disember.

    Dengan pandemik berterusan membatas perjalanan antarabangsa, kini sudah tiba masanya untuk memikirkan percutian akhir tahun di dalam negara.

    Festival tahun ini akan memaparkan 88 acara dan aktiviti, peningkatan daripada 60 acara tahun lalu, yang akan menarik semua lapisan masyarakat berdasarkan lima tema iaitu Festival Makanan, Festival Islam, Kebudayaan dan Seni Kreatif, Sukan dan Pengembaraan serta Rekreasi dan Membeli-Belah.

    Tema Rekreasi dan Membeli-belah mendahului kempen dengan 28 acara, diikuti oleh Festival Makanan dan Sukan dan Pengembaraan dengan 22 acara masing-masing, Kebudayaan dan Seni Kreatif (17 acara) dan Festival Islam (dua acara). Lembaga Pelancongan Brunei telah memilih 60 rakan acara untuk mengendalikan acara tahun ini.

    Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan merangkap Setiausaha Lembaga Pelancongan Brunei, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali pada sidang media kelmarin memaparkan kombinasi acara yang kembali dari tahun lalu serta acara baharu yang menarik.

    Di antaranya adalah Pasar Rakyat (Pasar Komuniti) yang dianjurkan oleh Kedutaan Indonesia di Brunei Darussalam, memaparkan sajian masakan dari Indonesia; Ceramah Maya Islam oleh penceramah terkenal dari Malaysia, Ahmad Dusuki di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), Watertastic Weekend di Brunei Darussalam Yachting Association (BDYA) memaparkan aktiviti sukan air di Pantai Serasa; serta Pertandingan Betta Fish yang akan menyaksikan penternak ikan tempatan mempamerkan koleksi ikan mereka yang unik.

    Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19, Awang Wardi menasihatkan penganjur dan syarikat pengurusan acara supaya mematuhi peraturan kesihatan awam untuk menghalang penularan COVID-19. Ini termasuk menjalani pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod QR BruHealth dan mengamalkan penjarakan sosial.

    Awang Wardi semasa bercakap pada sesi sidang media yang diadakan sempena Festival Disember Brunei.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda