Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Sebanyak 42 acara maya dan lapan acara fizikal akan diadakan sepanjang Festival Disember Brunei (BDF) bermula 1 hingga 31 Disember yang terdiri daripada acara dan aktiviti berbentuk Islamik, makanan dan kulinari, kebudayaan dan kesenian, sukan, rekreasi dan pengembaraan, membeli-belah dan satu kategori baharu iaitu teknologi digital dan ICT.
Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah mengadakan acara maya bagi menandakan permulaan penganjuran BDF, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan khas daripada Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Brunei.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penganjur acara atas sokongan dan penglibatan mereka dalam acara BDF tahun ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa mengambil kira situasi COVID-19, maka penganjuran BDF 2021 menumpukan kepada acara-acara yang dapat dilaksanakan secara maya, manakala penganjuran acara dan aktiviti fizikal adalah tertakluk kepada situasi COVID-19 dan perlu mematuhi garis panduan Fasa Peralihan; manual prosedur operasi standard (SOP) dan apa jua garis panduan Kementerian Kesihatan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
Sebanyak 48 penganjur menyertai acara terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, perwakilan asing dan syarikat-syarikat pengurus tempatan.
Menurut Pengurus Strategi dan Pemasaran, AKIF Event Management, penganjuran acara BDF 2021 adalah unik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dengan adanya platform itu, syarikat-syarikat pengurus acara berpeluang menganjurkan acara-acara kreatif dan bermanfaat khusus bagi orang ramai pada musim cuti sekolah Disember ini.
