Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Dalam usaha menggalakkan rakyat dan orang ramai bercuti dalam negara, acara yang dinanti-nanti setiap hujung tahun, Festival Disember Brunei (BDF) ke-5 telah bermula dan dilancarkan secara maya hari ini, dengan gabungan pendekatan maya dan fizikal dijangka memeriahkan bulan percutian.
BDF merupakan inisiatif Kemen-terian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Lembaga Pelancongan Brunei dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta serta perwakilan asing dan syarikat-syarikat pengurusan acara tempatan.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong mengongsikan perkara itu pada sidang media harian COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya, selain menggalakkan orang ramai bercuti dalam negara, BDF juga dihasratkan dapat mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi pelancongan dan menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang musim cuti persekolahan pada bulan Disember.
Walau bagaimanapun, mengambil kira situasi pandemik yang sedang melanda negara pada masa ini, penganjuran BDF tahun ini akan lebih menumpukan acara dan aktiviti yang dapat dilaksanakan secara maya.

Manakala acara-acara fizikal adalah tertakluk kepada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, tambah Yang Berhormat Dato.
“Pada BDF tahun ini, 50 acara akan diadakan yang mana 42 daripadanya adalah acara maya dan lapan lagi berbentuk fizikal. Ia merangkumi acara Islamik, kebudayaan, kesenian, makanan dan kulinari, sukan, rekreasi dan pengembaraan, membeli-belah dan ka-tegori baharu iaitu teknologi digital dan ICT,” katanya.
Antara acara-acara yang telah disusun termasuklah Virtual Hockey Clinic; 5th Brunei Film Blitz; The Tiny Lit Fest; Diskusi Komik, Bengkel Penulisan Jawi dan Ekspo Kaligrafi di Pengajian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Costume Run; dan Onecity Expo 2021 dan banyak lagi, tambahnya.
Menurut Yang Berhormat Dato, bagi acara-acara yang berbentuk fizikal pula, penganjur acara dan orang ramai khususnya pengunjung dan peserta diingatkan untuk sentiasa berhati-berhati dan mematuhi SOP dan garis panduan dalam Fasa Peralihan COVID-19.
Antaranya kod BruHealth hijau, lengkap dos vaksin, pemeriksaan suhu, pemakaian pelitup muka, menyediakan cecair sanitasi, penjarakan fizikal, pengudaraan mencukupi dan kapasiti tidak lebih 50 peratus atau 200 orang.
Jabatan Kemajuan Pelancongan akan berterusan memantau dan membuat pemeriksaan ke lokasi dan premis bagi acara-acara fizikal bagi memastikan pematuhan dibuat.