Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDFA pantau kualiti, keselamatan makanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Ke arah mencapai visi dan misi bagi memastikan produk makanan di Negara Brunei Darussalam sentiasa selamat, bersih dan berkualiti, sebuah badan berkanun iaitu Autoriti Makanan Brunei Darussalam atau Brunei Darussalam Food Authority (BDFA) telah ditubuhkan sebagai pengawal selia dan competent authority ke atas keselamatan dan kualiti makanan di Negara Brunei Darussalam bermula 1 Januari 2021.

    Penubuhan tersebut adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi penubuhan sebuah sistem kawal selia keselamatan makanan yang mantap dan berkesan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, penubuhan BDFA berobjektif bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan di Negara Brunei Darussalam adalah di tahap yang maksimum, menjadi single point of contact dalam hal ehwal makanan dengan menyatukan proses kerja yang berkaitan dengan makanan.

    Bagi mencapai salah satu objektif BDFA iaitu sebagai single point of contact dalam hal ehwal makanan, beberapa peranan dan tanggungjawab daripada bahagian dan unit-unit di bawah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan akan disatukan dan diambil alih oleh BDFA.

    BDFA juga bertindak sebagai pemangkin dalam memperkembangkan dan menjadikan industri makanan tempatan lebih berdaya saing di arena antarabangsa.

    Fungsi dan peranan BDFA antara lain adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan makanan, piawaian makanan dan label makanan serta melaksanakan dan memudah cara pendidikan dan latihan kepada orang awam dan pengusaha yang terlibat dalam pengendalian atau pembekalan makanan bagi membolehkan mereka meminimumkan risiko pencemaran makanan.

    BDFA juga berperanan dalam mengawal selia import dan eksport makanan, pembuatan, pemprosesan dan pengangkutan serta transit, bagi memastikan rantaian bekalan makanan daripada pembuatan, peruncitan dan pengedaran sehingga kepada pengguna adalah selamat dan teratur.

    Dari segi akses pasaran, BDFA akan mengawal selia, membantu dan memastikan semua kilang perusahaan makanan tempatan yang menyasarkan untuk pasaran eksport adalah mematuhi dan memenuhi undang-undang dan piawaian keselamatan makanan yang relevan, seperti yang di persyaratkan oleh sistem kawalan makanan nasional dari negara-negara pengimport.

    Dalam hubungan itu, pemberigaan bagi memperkenalkan penubuhan BDFA serta perintah perundangan dan peraturan di bawah BDFA akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan melibatkan agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat pengusaha makanan yang berkepentingan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka bolehlah menghubungi BDFA di Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, atau talian 2237417, 2237476 dan 2237314, faks 2237467 dan e-mel: fsqc@moh.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda