Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Sempena sambutan Hari Kaji Cuaca Sedunia 2024, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi (MTIC) telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.
Hari Kaji Cuaca Sedunia disambut setiap tahun pada 23 Mac bagi memperingati berkuat kuasanya konvensyen Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) pada 1950 yang mana Brunei merupakan negara ahli badan saintifik dunia itu di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Hari bersejarah itu juga diraikan bagi menghargai sumbangan-sumbangan penting yang diberikan oleh perkhidmatan-perkhidmatan kaji cuaca dan hidrologi kebangsaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.
Pada tahun ini, tema sambutan adalah Di Barisan Hadapan kepada Tindakan Iklim.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Kaji Cuaca selaku pengerusi majlis, ketua-ketua eksekutif, pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
