BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) akan mengadakan acara makan malam ‘Dining in the Dark’ bersempena Hari Penglihatan Sedunia dan Hari Orang Kelainan Upaya Antarabangsa pada pertengahan Disember nanti di Beribi, Gadong.
Acara tersebut turut mendapat sokongan dari Bank Standard Chartered Brunei adalah bertujuan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap masalah penglihatan sebagai isu utama kesihatan awam antarabangsa, khususnya dari aspek pemakanan dan minuman.
Selain itu, majlis berkenaan adalah bagi mengumpul dana yang akan digunakan bagi pembinaan bangunan kekal BDNAB dan bagi membiayai perbelanjaan kegiatan yang akan dijalankan pada masa akan datang.
Sehubungan itu, pendaftaran bagi menyertai acara berkenaan akan dibukakan mulai pertengahan hingga penghujung November ini, di mana ia dibukakan kepada orang ramai dengan harga tiket yang berpatutan. Mereka yang berminat bolehlah berkunjung ke Pejabat BDNAB.
Hari Penglihatan Sedunia disambut pada hari Khamis minggu kedua bulan Oktober setiap tahun oleh Lion Club International sejak 1988.
Ia kemudiannya diintegrasikan menjadi visi 2020 di bawah koordinasi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Agensi Antarabangsa bagi Pencegahan Kebutaan (IAPB).
Tahun ini, tema bagi Hari Penglihatan Sedunia ialah ‘Eye Care for All’. Manakala, Hari Orang Kelainan Upaya Antarabangsa (IDPD) yang disambut pada setiap 3 Disember, kali ini membawa tema ‘Empowering Persons with Different Abilities and Ensuring Inclusiveness and Equality’.