KUCHING, 27 JULAI – Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) di bawah pimpinan Naib Presiden, Haji Ismadey Haji Hussin bersama jurulatih Park Sang Jin dan Mutiara Habiba mengumumkan penyertaan pasukan dalam Kejohanan Taekwondo Asia yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak, Malaysia, dari 25 hingga 30 Julai.
Seramai enam atlet muda kebangsaan akan mewakili Brunei di pentas antarabangsa ini dalam tiga acara utama iaitu Kejohanan Taekwondo Remaja Asia G2 ke-13 (umur 15–17 tahun), Kejohanan Taekwondo Kadet Asia ke-6 (umur 12–14 tahun) dan Kejohanan Taekwondo Poomsae Kadet Asia ke-6 (umur 12–14 tahun).
Kejohanan berprestij itu akan menghimpunkan peserta terbaik dari seluruh Asia termasuk negara Afghanistan, Bahrain, Bangladesh, Bhutan, Kemboja, Hong Kong, China, India, Indonesia, Iraq, Iran, Jepun, Jordan, Kazakhstan, Kuwait, Kyrgyzstan, Laos, Lubnan, Macau, Malaysia, Maldives, Mongolia, Myanmar, Nepal, Oman, Pakistan, Palestin, Filipina, Qatar, Republik Korea, Arab Saudi, Singapura, Sri Lanka, Syria, Tajikistan, Chinese Taipei, Thailand, Timor-Leste, Turkmenistan, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan, Vietnam dan Yaman.
Pertandingan berkenaan akan menampilkan aksi bertaraf tinggi dalam dua disiplin utama iaitu Poomsae (persembahan bentuk) dan Kyorugi (pertarungan), sekali gus memberi peluang yang sangat berharga kepada para atlet muda Brunei untuk menguji kemahiran mereka menentang lawan-lawan terbaik rantau itu.
Haji Ismadey menyatakan keyakinannya terhadap pasukan negara dengan berkata, “Atlet-atlet muda kita telah menjalani latihan dengan penuh dedikasi dan disiplin di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman. Kami berbangga mengibarkan bendera Brunei di pentas antarabangsa ini dan percaya bahawa pendedahan ini akan meningkatkan lagi perkembangan sukan taekwondo di negara ini.”
BDTA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan atas sokongan dan galakan berterusan terhadap pembangunan sukan dan atlet tanah air.
