Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sebuah bilik tidur di tingkat bawah sebuah rumah musnah keseluruhannya dalam kejadian kebakaran di Rancangan Perumahan Negara Perpindahan Mentiri pada 2 Ogos lalu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, menyatakan bahawa panggilan mengenai kejadian berkenaan diterima pada pukul 7:12 malam dan tiga buah jentera bomba iaitu dua dari Balai Bomba Mentiri dan sebuah dari Balai Bomba Muara bersama 16 orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah, Penguasa Kanan Bomba Aflan bin Awang Kachi dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut kenyataan itu, apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api besar yang mengeluarkan asap tebal membakar keseluruhan bilik tidur berkenaan.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran dengan mengeluarkan dua jet air dari jentera bomba dan pili bomba yang berdekatan di mana api berjaya dikawal dalam 15 minit.
Semasa kejadian berkenaan, pemilik rumah warga tempatan itu mengalami cedera ringan di bahagian belakang badan dan dua orang penghuni lagi mendapat cedera ringan di bahagian tangan di mana mereka dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati punca api adalah daripada pemakaian lebih beban penyambungan mudah alih extension cable yang disambung dari satu menjadi tiga penyambungan soket 13 Amp dan anggaran kerugian ialah lebih kurang $25,000.
Dalam kenyataan itu lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan orang ramai untuk memastikan pemakaian elektrik tidak mencapai tahap lebih bebanan (overload), memastikan suis mana-mana peralatan elektrik dimatikan selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam masa yang lama, memastikan pendawaian dalam keadaan baik serta membuat pemeriksaan dengan syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.
Mereka juga diseru untuk memastikan bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api yang bersesuaian (jenis ABC powder), selimut api (fire blanket) dan alat pengesan asap.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka diseru untuk berhubung terus ke Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
