KUALA LUMPUR – Stres atau tekanan akibat bebanan kerja mendorong segelintir pekerja mengambil dadah terutamanya jenis stimulan atau perangsang seperti methamphetamine (termasuk pil kuda), ekstasi dan ketum.
Terdapat juga pekerja yang mengambil dadah atas alasan perlu kekal bertenaga untuk bekerja atas panggilan on call atau bekerja lebih masa di samping ingin meningkatkan prestasi mereka.
Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid mendedahkan perkara itu kepada Bernama baru-baru ini ketika diminta mengulas tentang isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja di Malaysia.
Mereka yang mengambil dadah stimulan biasanya menjadi lebih bertenaga, banyak bercakap, terlebih aktif dan boleh berjaga malam selama berhari-hari.
“Di samping itu, tekanan hidup akibat masalah kewangan dan masalah rumah tangga juga boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah sekali gus menjurus kepada penyakit kemurungan dan bunuh diri.

“Terdapat mereka yang menggunakan dadah untuk menurunkan berat badan terutamanya golongan wanita berkerjaya sebagai contoh dalam kalangan eksekutif muda yang mahu kelihatan menarik dan sentiasa cergas,” katanya.
Mengulas lanjut Dr Rusdi yang juga pakar psikiatri di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC) berkata, sektor dan corak pekerjaan seseorang individu boleh mempengaruhi kecenderungan untuk mengambil dadah.
Menyenaraikan sektor perladangan, kesihatan, hiburan dan pengangkutan antara yang lebih terdedah kepada penyalahgunaan dadah di tempat kerja, beliau berkata, sebagai contoh, pekerja buruh kasar yang memerlukan banyak tenaga dan pemandu jarak jauh yang perlu menambah bilangan ‘trip’ cenderung untuk menggunakan dadah methamphetamine khususnya pil kuda.
Keadaan berkenaan berbeza dengan pekerja atau petugas kesihatan kerana golongan ini cenderung menggunakan dadah jenis opiat kerana mudah diperolehi (easy access) daripada stok ubat terkawal di fasiliti kesihatan.
“Umumnya, dadah jenis stimulan paling kerap digunakan di tempat kerja. Dadah jenis opiat seperti morfin, pethidine dan tramadol lebih menjurus kepada sektor kesihatan, manakala dadah benzodiazepine pula lebih cenderung digunakan bagi mengatasi kesan sampingan dadah stimulan, untuk memastikan penggunanya dapat tidur pada waktu malam.
“Bagi pengambilan alkohol dan arak pula ia sering berlaku dalam sektor hiburan di kelab malam terutamanya dalam kalangan pekerja dan pengunjungnya,” katanya, menambah golongan pelajar tidak terkecuali dan ada yang mengambil methamphetamine bagi tujuan berjaga lewat malam sebelum menghadapi peperiksaan.
Jejas diri, ekosistem
Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja boleh memberi kesan jangka masa pendek dan panjang yang melibatkan kesihatan diri, kerja, orang lain dan seterusnya seluruh ekosistem.
Kesan jangka pendek lazimnya ialah mabuk kerana terlebih dos dadah. Mereka yang menggunakan dadah stimulan biasanya mempunyai gejala seperti hiperaktif, agresif, mudah marah iaitu emosi menjadi tidak stabil, merasa tidak perlu tidur malam, tidak berasa lapar dan sentiasa bertenaga.
Menurut Dr Rusdi, kesan ‘overdose’ boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, dehidrasi, serangan jantung, sawan dan angin ahmar atau stroke.
Ada kalanya, mereka juga berisiko menunjukkan gejala psikosis yang boleh membahayakan diri dan orang sekeliling.
“Apabila putus bekalan (dadah), mereka akan mengalami gejala keletihan melampau, selera makan bertambah dan makan dengan banyak, rasa mengantuk yang amat sangat mengakibatkan mereka akan tidur sepanjang hari dan berasa murung.
“Mereka yang mengambil dadah jenis opiat secara berlebihan boleh mengalami euphoria (rasa gembira yang terlampau di luar keadaan normal), sesak nafas dan rasa mengantuk yang amat sangat sehingga menyebabkan sukar bernafas dan boleh membawa kematian,” katanya.
Bagi kesan jangka masa panjang pula, dadah stimulan boleh menyebabkan ketagihan, gejala yang menyerupai penyakit mental seperti penyakit skizofrenia, bipolar dan kemurungan.
Menurut Dr Rusdi, pengambilan dadah dalam jangka masa panjang dan kebergantungan melampau menjejaskan prestasi kerja dan produktiviti menurun kerana ponteng kerja ‘absentism’, akhirnya boleh dibuang kerja.
“Apabila ketagihan membelenggu, mereka akan hilang kawalan terhadap penggunaan dadah dengan terus menerus menggunakan bahan tersebut walaupun menyedari kesan negatifnya dalam kehidupan dari segi fungsi kerja, sosial serta kesihatan mental dan fizikal.
“Selain murung, mereka juga menjadi paranoia kepada orang sekeliling dan mengalami gejala psikosis yang tidak terkawal seperti mendengar suara-suara halus, melihat benda-benda yang aneh dan pelik. Keadaan ini dipanggil ‘stimulant induced psychosis’,” jelasnya.
Bersatu banteras dadah
Malaysia membelanjakan lebih kurang RM500 juta setahun bagi menangani kes penagihan antaranya untuk menempatkan penagih di pusat serenti yang dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di bawah naungan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Hampir 1,000 klinik di Malaysia digunakan untuk tujuan merawat penagihan seluruh negara, iaitu terdiri daripada 500 klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 500 klinik rawatan penagihan swasta.
Ketika berkongsi maklumat ini, Dr Rusdi berkata, bilangan penagih menghuni pusat serenti sekarang semakin berkurangan iaitu daripada 15,000 kepada hanya 2,500 orang semenjak kerajaan memperkenalkan kaedah rawatan pengurangan kemudaratan atau ‘harm reduction approach’ pada tahun 2005 di seluruh negara.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji langkah Malaysia sebagai role model di Asia melalui laporan pengurangan kemudaratan dadah dan AIDS pada tahun 2013. Malangnya, pihak berwajib dilihat berbalik semula kepada pendekatan lama yang melihat penagih sebagai penjenayah dan bukan pesakit, yang hasilnya kurang berkesan,” katanya, mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula pendekatan yang lebih sesuai dalam menangani isu dadah di negara ini.
Dr Rusdi turut berkongsi kajian bertajuk Cure and Care 1Malaysia Clinic (C&C1m), Sungai Besi Kuala Lumpur: How Effective is Drug Treatment and Rehabilitation Programs for Outpatient Clients?.
Menurut beliau, hasil kajian yang dijalankan pada 2017 itu menunjukkan, tahap keberkesanan program rawatan dan pemulihan dadah dalam kalangan pesakit adalah tinggi melalui kombinasi rawatan perubatan menggunakan ubat-ubatan dan secara sukarela berikutan kadar relaps terhadap penggunaan dadah terlarang adalah sangat rendah.
(Relaps merujuk kepada kembali kepada penggunaan dadah selepas percubaan untuk berhenti daripada penagihannya).
“Majikan yang prihatin dan mengambil tahu masalah pekerja boleh membantu mencegah masalah penggunaan dadah di tempat kerja daripada berlaku,” katanya, menambah, pendekatan secara perubatan dalam merawat penagihan ditambah kaedah kaunseling dan psikospiritual lebih membantu penagih apabila mereka dirawat sama seperti pesakit kronik yang lain seperti di hospital dan klinik kesihatan.
Dadah rekreasi, perubatan
Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, penyalahgunaan dadah dalam masyarakat termasuk golongan pekerja bukanlah isu baharu cuma kaedah pengambilan dan kesannya kini lebih bervariasi.
Menurut beliau, jika dahulu dadah diambil dengan kaedah sinonim seperti menyuntik jarum pada badan dan kesannya individu akan menjadi lemah dan khayal, namun kini kesannya mungkin berbeza apabila individu boleh menjadi lebih tenang dan relaks (tujuan santai) ataupun menjadi lebih kuat dan bertenaga (dadah stimulan) sehingga ada yang menormalisasikannya untuk tujuan kebaikan dan perubatan.
“Mungkin ada betulnya… macam sekarang orang sedang berdebat mengenai kebaikan ganja (kanabis). Teorinya mungkin orang tak ketagih sebab untuk tujuan perubatan dan ia juga diambil mengikut keperluan dan secara santai…tetapi kita bimbang ada yang akan ambil kesempatan yang membawa kepada penyalahgunaan bahan itu lebih-lebih lagi tanpa kajian mendalam mengenai keberkesanannya.
“Kematangan, kefahaman dan penerimaan setiap individu berbeza. Contohnya vape, bila dibenarkan penggunaannya maka banyak perkara yang perlu dilihat. Dari aspek kreativiti rakyat untuk mengubahsuai, ‘menambah baik’ isi kandungan, perisa dan tujuan penggunaannya,” katanya yang juga seorang Doktor Kesihatan Pekerjaan.
Beliau menambah, selain kerjaya dalam bidang sukan sebagai contoh atlet, mereka yang terlibat dalam bidang seni yang perlu menghasilkan idea kreatif malah golongan intelektual juga tidak terkecuali berisiko terjebak dengan penyalahgunaan dadah akibat tuntutan tugas.
Namun begitu, ada juga yang menggunakan dadah atas alasan tujuan rekreasi dan sosial untuk suka-suka, ‘ikut kawan’, bosan dan sunyi tinggal sendirian serta sebagai ubat tidur ‘anti-depression’ atau ‘anti-anxiety’.
Dadah dan AKKP 1994
Dr Shawaludin menambah, Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan di Tempat Kerja oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia, melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk AADK, dapat membantu usaha membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu di tempat kerja.
Setiap majikan perlu menjalankan program tempat kerja bebas dadah antaranya bagi mengatasi impak sosial yang melibatkan imigrasi pekerja ke kawasan atau industri ‘gelap’ (kawasan dadah) yang dikhuatiri boleh mempengaruhi mereka untuk terlibat dengan dadah ataupun pekerja yang asalnya dari kawasan ‘gelap’ dan datang ke sektor bebas dadah, dan dikhuatiri mempengaruhi masyarakat setempat.
“Amat penting untuk majikan memastikan tempat kerja bebas dadah kerana jika ada pekerja yang terlibat, ia bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri dan rakan sekerja bahkan boleh mengundang risiko kepada operasi syarikat termasuk menyebabkan berlakunya kemalangan atau bencana seperti kebakaran di tempat kerja apabila mereka lalai dan cuai akibat berada di bawah pengaruh dadah.
“Tempat kerja mesti ada polisi bebas dadah. Daripada polisi ini, majikan perlu menjalankan penilaian risiko dengan memastikan pekerja yang melaporkan diri ke tempat kerja tidak terlibat dengan dadah, sentiasa ‘bersih’ (bebas dadah) dan tidak terpengaruh dengan masyarakat setempat,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah kawalan yang biasa dibuat ialah ujian urin sewaktu pekerja mula-mula melaporkan diri, kemudian dibuat secara berkala dan apabila berlaku kecuaian pekerja.
Menegaskan peranan majikan dalam mengesan pekerja terlibat dadah dan bersedia memberi ‘peluang kedua’ kepada mereka, beliau berkata rawatan pemulihan, ubat-ubatan dan sesi kaunseling antara yang boleh dijalankan bagi membantu pekerja membuang tabiat buruk mereka, kembali pulih dan dapat bertugas seperti sediakala.
“Tindakan buang kerja bagi pekerja yang terlibat dengan dadah tidak akan menyelesaikan masalah kerana mereka tidak dibantu untuk tujuan rehabilitasi. Pekerja yang dibuang kerja akan menjadi lebih teruk menagih, menganggur, tiada sumber kewangan akan memberi impak lebih besar kepada mereka dan keluarga,” katanya. – Bernama