Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beban rasa bersalah seorang ibu

    Salam sejahtera buat sidang pengarang dan para pembaca sekalian. Aku sekadar ingin berkongsi satu kisah yang sering menganggu fikiranku baru-baru ini, memikirkan nasib anakku, Aina.

    Hendak dijadikan cerita, tiga bulan yang lalu, dia pernah memberitahu bahawa dia tidak mahu lagi pergi ke sekolah. Hatiku remuk, bagai tertusuk sembilu. Seorang ibu mana yang tidak terluka mendengar anaknya menyerah terhadap pendidikan?

    Jarak antara rumah kami dan sekolah memang jauh. Setiap pagi, Aina perlu berjalan hampir dua kilometer melalui denai kecil yang penuh lumpur apabila hujan turun. Bas sekolah tidak sampai ke kawasan kami kerana jalannya terlalu sempit dan tidak rata.

    Sebagai ibu tunggal, aku tiada pilihan selain membiarkan dia berjalan kaki setiap hari.

    Namun, masalah jarak bukan satu-satunya sebab. Aku tahu, ada yang lebih mendalam.

    Gambar Canva

    Keadaan kewangan kami tidak pernah stabil. Aku hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan kecil yang cukup-cukup untuk makan minum harian. Buku tambahan, pakaian seragam baharu, apatah lagi yuran kokurikulum – semua itu aku tak mampu sediakan. Pernah sekali, Aina pulang dari sekolah dengan wajah muram kerana diejek rakan sekelasnya hanya kerana kasutnya koyak.

    Sebagai seorang ibu, aku cuba memberikan yang terbaik, tetapi aku tahu usahaku tidak cukup. Aku merasakan kegagalan sebagai ibu. Namun, aku juga tidak mampu mengubah keadaan.

    Beberapa bulan selepas itu, Aina terus berhenti sekolah. Dia menghabiskan masanya di rumah membantu aku dengan kerja-kerja rumah, tetapi dalam diam, aku tahu dia menyimpan rasa kecewa.

    Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu anak-anak seperti Aina dan ibu-ibu seperti aku?

    Ezyan

    NASIHAT DANG MP

    Salam sejahtera Ezyan dan terima kasih atas perkongsiannya.

    Kesedihan dan perasaan kegagalan yang sedang Ezyan alami amatlah mendukacitakan, walaupun jelas sekali ibu seperti Ezyan telah berusaha sedaya upaya menyara
    keluarga. Ditambah lagi dengan Aina yang sudah putus asa dengan pendidikan seperti yang diceritakan.

    Keadaan yang dihadapi oleh Aina bukanlah sesuatu yang jarang berlaku apabila anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan terpaksa berhadapan dengan cabaran yang berat dalam pendidikan mereka. Selain masalah kewangan, isu seperti jarak sekolah yang jauh dan tekanan sosial kerana perbezaan keadaan hidup juga memberi kesan mendalam pada keyakinan diri mereka.

    Namun, masih ada harapan untuk Ezyan dan Aina untuk mengubah keadaan. Apa yang lebih penting adalah usaha berterusan dari diri sendiri dan juga masyarakat untuk lebih peka dan mengambil tindakan.

    Dang cadangkan supaya Ezyan cuba hubungi pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan meringankan beban keluarga yang dihadapi.

    Mungkin ada bantuan yang tersedia seperti bantuan kewangan, program sokongan komuniti atau penyediaan infrastruktur yang lebih baik seperti pengangkutan sekolah.

    Ezyan boleh juga cuba menghubungi ketua komuniti di tempat Ezyan sebagai langkah permulaan. Dang pasti di luar sana ada pihak yang sudi membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti Ezyan.

    Dang ingin mengingatkan Ezyan bahawa pendidikan adalah hak setiap anak, dan tidak sepatutnya ada yang terpinggir akibat kekurangan sumber. Dang berharap agar Ezyan sekeluarga terus berusaha dan berikhtiar untuk mencari jalan memberi pendidikan kepada Aina dan ramai lagi anak-anak di luar sana supaya mendapat peluang untuk menggubah nasib keluarga menjadi lebih baik melalui pendidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda