Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Seorang Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan kekal dibebaskan daripada tuduhan rasuah apabila permohonan pihak pendakwaan yang mahu dia dipenjarakan ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Haji Othman bin Judin, 59, yang bekerja di Unit Pengurusan Hartanah, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijatuhi tiga tahun penjara oleh Mahkamah Majistret pada Disember tahun lalu selepas didapati bersalah kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai penjawat awam.
Mahkamah Tinggi pada Februari lalu mengetepikan kesalahan dan hukuman Haji Othman selepas mendapati Mahkamah Majistret telah ‘tersalah arah’ dalam menyabitkannya, yang mana Majistret yang mengendalikan perbicaraan ketika itu tidak menumpukan sepenuhnya pada isu sebenar.
Hakim di Mahkamah Rayuan juga mendapati pihak pendakwaan gagal untuk mengekalkan sabitan Mahkamah Majistret terhadap Haji Othman dan bersetuju dengan kesimpulan Mahkamah Tinggi yang mengatakan bahawa keseluruhan perbicaraan diakhiri dengan pembebasan Haji Othman.