HANOI, 16 OGOS – Kumpulan hak asasi haiwan mendesak zoo awam Hanoi untuk melepaskan dua ekor gajah tua yang dirantai dengan besi dan tidak dapat bergerak bebas, satu layanan buruk terhadap haiwan yang telah membangkitkan kemarahan di Vietnam.
Kumpulan itu menyeru dua ekor gajah bernama Thai dan Banang dibebaskan ke sebuah taman negara manakala sehingga 70,000 orang telah menandatangani petisyen online untuk menyokongnya.
Media kerajaan juga membuat liputan meluas kisah sedih gajah tersebut kebelakangan ini.
Hari ini, kedua-dua ekor gajah itu masih lagi dirantai kakinya ketika penjaga zoo memberikan ia makan rumput dan tebu, menurut wartawan AFP yang melihatnya secara dekat.
“Gajah-gajah itu agak garang. Dengan pagar elektrik yang rosak, kami terpaksa merantai kedua-duanya,” kata seorang kakitangan zoo memberitahu AFP, tanpa mahu dikenali.
Kakitangan mengatakan dua ekor gajah itu dibawa ke zoo dari tanah tinggi selatan dan tengah pada 2010 dan 2014.
“Kedua-duanya daripada kawanan berasingan. Kami perlu berusaha keras mengelak kedua-duanya daripada bertarung dan memastikan keselamatan penjaganya serta memberikannya makan tiga kali sehari,” tambahnya.
Animal Asia telah menghantar sepucuk surat kepada pihak berkuasa bandar itu awal bulan ini menggesa haiwan itu dikembalikan ke hutan di Taman Negara Yok Don di dataran tengah negara itu.
“Gajah-gajah di zoo Hanoi telah dirantai lama,” kata kumpulan itu dalam surat mereka.
“Kesihatan kedua-dua gajah itu akan semakin teruk jika ia kekal seperti itu,” tambah kumpulan tersebut.
Vietnam Animal Eyes, sebuah kumpulan penyokong haiwan tempatan, turut melancarkan petisyen untuk membebaskan haiwan itu dari zoo tersebut bermula Ogos. – AFP