BEIJING, 19 NOV – Beberapa pelajar cedera hari ini selepas sebuah kereta merempuh kawasan luar sebuah sekolah rendah di wilayah Hunan, tengah China, menurut media negara.
China telah menyaksikan beberapa insiden maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini – daripada serangan menggunakan pisau hingga perlanggaran kereta – dalam satu perkembangan yang jarang berlaku bagi negara yang terkenal dengan reputasinya dalam keselamatan awam.
Isu tersebut telah mendorong pihak berkuasa menyelami keadaan masyarakat, dengan sesetengah pihak berasa kecewa tentang mengapa semakin ramai individu nampaknya sanggup ‘membalas dendam’ ke atas orang awam yang tidak dikenali.
Penyiar negara CCTV melaporkan ramai pelajar sekolah cedera dalam insiden hari ini, namun menyatakan bahawa kecederaan sebenar masih dalam siasatan.
Media negara tidak menyatakan sama ada kemalangan itu dilakukan dengan sengaja.
Rakaman video yang tersebar di media sosial China – yang sepadan dengan gambar-gambar dalam talian sekolah tersebut – kelihatan menunjukkan detik selepas insiden itu, dengan puluhan kanak-kanak lari dalam keadaan panik.
Dalam satu klip, beberapa orang termasuk seorang kanak-kanak kecil boleh dilihat terbaring di atas tanah. Rakaman lain menunjukkan seorang lelaki berdarah dipukul dengan kayu oleh orang ramai yang lalu-lalang ketika dia terbaring di atas tanah bersebelahan sebuah kenderaan SUV.
Kemalangan itu berlaku di luar sekolah rendah Yong’an di bandar Changde, yang terletak di tengah China dan mempunyai lebih lima juta penduduk. – AFP