KUCHING, 30 SEPT – Beberapa syarikat asing dan tempatan telah menunjukkan minat untuk membuka perniagaan berkaitan oleokimia di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Awang Tengah, yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, kimia yang berasal daripada lemak tumbuhan atau haiwan, mempunyai banyak kegunaan dalam produk hiliran dan sudah sampai masanya bagi negeri itu untuk memberi tumpuan kepadanya sebagai satu lagi sumber hasil.
“Kami mempelawa pelabur dalam dan luar negara, kerana kami mempunyai semua sumber ini dan industri minyak sawit sedang berkembang.
“Terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk membuka perniagaan, tetapi ia masih di peringkat awal, tetapi kami benar-benar berharap agar ia dapat ditubuhkan di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sarawak, di sini, hari ini. – Bernama