Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Menangis adalah perkara normal, terjadi pada setiap orang lebih-lebih lagi kaum perempuan.
Menangis boleh saja berlaku dengan hanya keluar air mata tanpa ada suara ataupun diiringi dengan suara yang perlahan ataupun diiringi dengan suara yang tinggi seperti teriakan dan seumpamanya.
Kebiasaannya perbuatan menangis berlaku disebabkan tiga perkara iaitu (i)(a) Sakit jasmani iaitu kesakitan yang menimpa anggota tubuh seperti sakit kepala, sakit kaki dan yang seumpamanya; (i)(b) Sakit di dalam jiwa iaitu kesedihan yang teramat sangat seperti sedih ke atas mayat, sedih kerana kehilangan harta dan seumpamanya; (ii) Takutkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu kerana wujudnya rasa cinta dan perasaan rindu kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, takutkan azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagainya; (iii) Terlalu gembira iaitu kegembiraan yang menimbulkan perasaan terharu sehingga mengalirkan air mata.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah menyebut tentang jenis-jenis tangisan; ada tangisan kerana kasihan dan simpati, ada tangisan kerana takut dan gerun, ada tangisan kerana cinta dan rindu, ada tangisan kerana suka dan gembira, ada tangisan kerana sedih disebabkan kesakitan yang dirasai yang tidak mampu untuk ditanggung dan ada tangisan kerana dukacita.
Menangis dalam beberapa keadaan tertentu mempunyai hukumnya tersendiri seperti berikut:

Menangis kerana takutkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
Menangis bukan dilihat sebagai perasaan biasa sahaja.
Pada beberapa keadaan ia adalah perasaan luar biasa apabila ia berkaitan dengan perasaan takut seorang abid (hamba) kepada Penciptanya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Menangis kerana takutkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah antara sifat-sifat orang yang mukmin.
Tangisan seorang mukmin kerana takutkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala lahir kerana kuat keimanan dan kasih sayangnya terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Inilah yang digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang (benar-benar) beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambah (kuat) iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.” (Surah al-Anfal: 2)
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka; (iaitu) mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang (bangun) malam untuk berjaga di jalan Allah.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadits di atas disebutkan “mata yang menangis kerana takutkan Allah” adalah martabat mujahidin iaitu orang-orang yang berjuang melawan hawa nafsu, yang ingin bertaubat dan membersihkan diri daripada maksiat, sama ada dia merupakan orang yang berilmu ataupun tidak.
Menangis di dalam sembahyang
Adapun hukum menangis di dalam sembahyang; jika menangis dengan jelas dan nyata keluar dua huruf, maka perbuatan itu boleh membatalkan sembahyang kerana wujud sesuatu yang menafikan perbuatan sembahyang iaitu perkara yang membatalkan sembahyang, walaupun seorang itu menangis kerana takutkan akhirat.
Menangis ketika membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an
Sunat hukumnya menangis ketika membaca Al-Qur’an ataupun jika tidak mampu menangis maka buat-buatlah menangis.
Menangis ketika membaca Al-Qur’an disifatkan sebagai orang-orang yang arif dan lambang syi’ar hamba-hamba Allah yang saleh.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Dan mereka tunduk sujud sambil menangis dan mereka bertambah khusyu‘ (kerana kuatnya pengaruh al-Qur’an)” (Surah al-Isra’: 109)
Ini merupakan gambaran tentang kehebatan sifat mereka dan ia merupakan pujian daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka.
Adalah pasti sesiapa yang dikurniakan ilmu dan memperoleh sesuatu daripada ilmu untuk sampai ke tahap khusyu’ ketika mendengar bacaan al-Qur’an dan merendah diri.
Disebutkan dalam Musnad ad-Darimi bahawa orang yang dikurniakan ilmu tetapi ilmu itu tidak membuatkannya menangis kepada Pencipta (Allah), sesungguhnya dia belum dikurniakan ilmu yang bermanfaat.
Maka yang demikian, orang yang membaca al-Qur’an hendaklah dalam keadaan khusyu‘, teliti serta memahami dan menghayati makna ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca, tunduk dan merendah diri.
Dengan memahami dan menghayati kandungan al-Qur’an akan menimbulkan kekhusyu‘an dan dengan kekhusyu‘an inilah akan mampu membuat orang yang membaca mahupun orang yang mendengar bacaannya mengalirkan air mata kerana perasaan cinta dan kasih sayang kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Menangis ketika berlaku kematian
Harus menangisi jenazah sama ada sebelum berlakunya kematian iaitu ketika dalam keadaan nazak ataupun selepas berlakunya kematian.
Walau bagaimanapun menangisi jenazah sebelum berlakunya kematian adalah lebih utama berbanding menangisinya selepas kematian.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah menangis ketika menghadapi kematian anak lelaki Baginda, iaitu Ibrahim.
Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, katanya yang maksudnya:
“Kami masuk bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendatangi Abu Saif Al-Qaiyn (iaitu suami perempuan) yang mengasuh dan menyusui Ibrahim ‘alaihissalam (putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil Ibrahim lalu memeluk dan menciumnya. Kemudian kami menjumpainya lagi selepas (peristiwa) itu dan Ibrahim hampir menghembuskan nafasnya sehingga menyebabkan kedua mata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berlinang air mata. Lalu ‘Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘anhu (dengan perasaan takjub) bertanya kepada Baginda: “Tuan juga (menangis) wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat,” kemudian berterusanlah keluar airmata Baginda. Setelah itu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya kedua mata boleh mencurahkan air mata, hati boleh merasa sedih, akan tetapi kami tidak boleh mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami dan dengan perpisahanmu ini wahai Ibrahim kami amat bersedih”. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits di atas, ungkapan “Sesungguhnya ini adalah rahmat” yang merupakan jawapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada soalan ‘Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘anhu membawa maksud bahawa tangisan itu adalah perasaan kasih sayang terhadap anak dan bukanlah ia sebagai kegelisahan atau kesedihan sepertimana yang disangkakan oleh sahabat Baginda itu.
Yang diharuskan tangisan ke atas jenazah itu ialah tangisan dengan suara yang perlahan (sekadar terisak-isak) walaupun dengan mengeluarkan air mata dan wujudnya perasan hati yang sedih.
Menurut Imam as-Subki Rahimahullahu Ta‘ala jika tangisan ke atas jenazah itu, kerana perasaan kasih sayang dan kerana perasaan takut di atas apa yang akan menimpa kepadanya daripada balasan Allah Ta‘ala dan perkara-perkara yang menakutkan pada hari kiamat hukumnya tidaklah makruh.
Jika tangisan ke atas jenazah itu kerana perasaan kasih sayang seperti menangisi jenazah kanak-kanak adalah tidak mengapa, akan tetapi adalah lebih baik bersabar.