Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beberapa hukum berkaitan perbuatan menangis

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Menangis ketika berziarah kubur

    Meratap, memekik, meraung serta memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita hukumnya adalah haram. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang perbuatan sedemikian sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda yang maksudnya:

    “Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Adapun perasaan hiba, sedih atau air mata yang mengalir tanpa ratapan tidaklah dilarang kerana kesedihan dan air mata itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf dan gerun terhadap kematian serta hari pembalasan.

    Dalam satu riwayat yang shahih, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya:

    “(Pada suatu ketika) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi ziarah ke kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pula orang sekelilingnya. Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada kematian.” (Hadits riwayat Muslim)

    Gambar Freepik

    Begitulah beberapa perkara berkaitan dengan menangis. Dalam beberapa keadaan ia digalakkan dan diharuskan. Namun dalam beberapa keadaan pula ia adalah diharamkan.

    Yang pasti, menangis itu adalah satu perkara semulajadi yang ada dalam diri manusia.

    Lebih-lebih lagi bila melibatkan kesakitan dan kesedihan. Elakkan menangis untuk perkara yang sia-sia seperti menangis kerana tidak berpeluang berjumpa artis kesayangan atau menangis kerana ditinggal pergi oleh kekasih atau yang seumpamanya.

    Berusahalah untuk mengalirkan air mata ketika mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sama ada ketika membaca al-Qur’an dan ketika membaca zikir seperti takbir, tahmid, tasbih, hawqalah dan sebagainya atau ketika bertafakkur dan merenung ciptaanNya di sekeliling kita. Biarlah tangisan itu kerana takutnya kita akan Allah Subhanahu wa Ta‘ala!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda