BELAIT, 28 OKT – Beberapa jalan di kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria (sila rujuk peta) ditutup sementara secara berperingkat bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf paip pembetungan yang akan bermula 29 Oktober sehingga kerja-kerja selesai dilaksanakan.
Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan penutupan bagi jalan-jalan raya di kawasan perbandaran Kuala Belait itu termasuk Jalan Nakhoda Ragam, Jalan Mckerron, Jalan Pasar, Jalan Bunga Rampai, Jalan Bunga Raya, Jalan Bunga Tanjong, Jalan Sungai, Jalan Bunga Rambai dan Kawasan Sekolah Chung Hwa Kuala Belait.
Sementara itu bagi kawasan perbandaran Seria pula melibatkan Jalan Raja Isteri, Jalan Sultan Omar Ali, Jalan Bunga Kuning, Jalan Bunga Kenanga, Jalan Bunga Melor, Jalan Bunga Kemantin dan Lorong Pasar.
Dalam pada itu, pihak jabatan menasihatkan para pengguna jalan raya tersebut untuk menggunakan jalan-jalan alternatif yang terdapat di kawasan berkenaan dan sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut.
Di samping itu, pengguna disaran untuk mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 atau Livechat 8333123 ataupun e-mel pro@pwd.gov.bn.
