Beberapa kaunter perkhidmatan JIPK ditutup

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seperti yang diketahui, beberapa kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan di Daerah Belait ditutup sekali gus menyebabkan terbantutnya urusan seperti pembaharuan kad pengenalan diri yang mansuh mahupun bagi penyambungan pas pekerja yang mansuh.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang belum dapat memperbaharui kad pengenalan diri dan pas pekerja mereka yang telah mansuh, tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil sehinggalah suatu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Namun bagi mereka yang bermastautin di Daerah Tutong dan Daerah Temburong, per-khidmatan JIPK masih dibukakan pada ketika ini.

Oleh itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata, jika ada keperluan yang mendesak untuk mereka yang ingin memperbaharui kad pengenalan diri bagi sebarang urusan yang mustahak, mereka bolehlah menghubungi JIPK.

Yang Berhormat Dato berkata sedemikian semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau menambah, orang ramai bolehlah menghubungi talian 7299550 atau 7299551 bagi sebarang pertanyaan.

Selain itu, bagi mendapatkan keterangan lebih lanjut, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.immigration.gov.bn.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani