BAITULMAQDIS, 2 MEI – Beberapa buah negara telah menghantar pesawat pemadam kebakaran ke Israel kelmarin ketika anggota bomba bergelut untuk hari kedua bagi memadamkan kebakaran hutan yang telah menutup lebuh raya utama menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmaqdis.
Kebakaran berlaku sekitar tengah hari di bukit-bukit di luar Baitulmaqdis Rabu lalu, didorong oleh keadaan panas dan kering serta tiupan angin kencang dengan cepat mencetuskan kebakaran melalui hutan pain. Beberapa penduduk telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga. Banyak sambutan Hari Kemerdekaan negara itu dibatalkan kerana pasukan keselamatan dikerahkan ke tempat kejadian.
Kebakaran tersebut telah memusnahkan kawasan kira-kira 20 kilometer persegi dan merupakan yang paling besar dialami Israel dalam dekad lalu, menurut jurucakap pihak berkuasa bomba dan penyelamat Israel, Tal Volvovitch. Dia berkata kebakaran itu tidak merosakkan mana-mana rumah.
Pihak berkuasa bomba dan penyelamat Israel memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi taman atau hutan dan berhati-hati semasa menyalakan api.
Seramai 12 orang dirawat di hospital Rabu lalu, terutamanya akibat terhidu asap, manakala 10 lagi dirawat di lapangan, kata perkhidmatan Ambulans Magen David Adom. Kira-kira 20 anggota bomba telah mengalami cedera ringan, kata Volvovitch.
Itali, Croatia, Sepanyol, Perancis, Ukraine dan Romania telah menghantar pesawat untuk membantu memadamkan api, manakala beberapa negara lain, termasuk Macedonia Utara dan Cyprus, turut menghantar pesawat yang menjatuhkan air. – AP
