Beberapa negara tarik diri dari Piala Thomas dan Uber

KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Kejohanan badminton Piala Thomas dan Uber menjadi tidak menentu hari ini selepas beberapa buah negara menarik diri disebabkan oleh koronavirus dan pemain utama meluahkan kerisauan mengenai keselamatan.

Kejohanan dunia berpasukan lelaki dan wanita telah ditunda sebanyak dua kali dan bakal berlangsung di Denmark bulan depan, dan akan menjadi kejohanan antarabangsa pertama sejak pandemik menangguhkan aktiviti sukan badminton pada Mac.

Tetapi Indonesia, juara Piala Thomas 13 kali, dan Korea Selatan telah menarik diri pada hujung minggu lalu, diikuti oleh Thailand, Australia dan Taiwan yang juga menarik diri dari kejohanan.

Pasukan China dan Jepun antara pasukan yang belum membuat keputusan untuk menarik diri tetapi beberapa orang pemain berbakat besar Asia tidak akan menyertai acara atas ketidakpastian mengenai kejohanan tersebut.

“Jika keputusan untuk menarik diri berterusan, saya rasa (Persatuan Badminton Dunia) mempunyai dua pilihan – satu untuk membatalkan, kedua untuk menunda final ke tarikh kemudian,” beritahu Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia, Kenny Goh kepada AFP.

Pemain utama India, Saina Nehwal, yang bakal bermain dalam kejohanan, turut menyoal mengenai sama ada anjuran kejohanan adalah keputusan yang tepat.

“Adakah sudah selamat untuk mengadakan kejohanan ketika ini?” tulis Saina menerusi Twitter.

Membatalkan kejohanan dari 3 hingga 11 Oktober akan menjadi cabaran hebat untuk sukan badminton kerana ia adalah acara terbesar yang tinggal dalam jadual perlawanan tahun ini selepas Sukan Olimpik ditangguhkan.

Dua kejohanan yang lain akan diadakan di Denmark selepas Piala Thomas dan Uber, diikuti dengan tiga minggu berturut-turut bermula 10 November di Asia, di lokasi yang akan diumumkan kemudian. – AFP