Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beberapa panduan bantu remaja yang hidup ‘bertemankan AI’

    Apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian remaja, mereka mula berpaling kepada bot sembang atau chatbot untuk mendapat nasihat, bimbingan dan perbualan.

    Ciri-ciri chatbot yang sabar, tidak mudah menghukum, memberi sokongan dan sentiasa ‘ada’ semasa melayan soalan pengguna sudah pasti menyebabkan remaja masa kini lebih tertarik.

    Inilah yang membimbangkan pakar yang sering mengatakan perkembangan pesat AI yang sebahagian besarnya tidak terkawal menyebabkan banyak ibu bapa tidak tahu sejauh mana anak-anak mereka menggunakan AI dan sebanyak mana maklumat peribadi yang telah pun mereka kongsi semasa ‘berbual’ dengan chatbot.

    Satu kajian baharu menunjukkan lebih daripada 70 peratus remaja Amerika kerap menggunakan AI sebagai teman dan lebih separuh ‘berbual dengan mereka’ secara berkala.

    Menurut laporan AP, kajian terbitan Common Sense Media tersebut memfokuskan pada aplikasi ‘teman AI’ seperti Character, AI, Nomi dan Replika, yang ditakrifkan sebagai ‘rakan digital atau watak yang boleh bercakap atau menghantar teks pada bila-bila masa’, berbanding dengan pembantu atau alat AI seperti ChatGPT yang lebih digunakan secara umum.

    Pada masa ini, adalah penting untuk untuk ibu bapa memahami teknologi ini dalam usaha untuk melindungi anak-anak pada masa mereka menganggap AI sebagai ‘teman hidup’ mereka.

    Pakar-pakar ada mencadangkan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu melindungi anak-anak mereka iaitu dengan memulakan perbualan, tanpa rasa mudah menghukum.

    Sebagai contoh, Ketua Penyelidik di Common Sense Media, Michael Robb mencadangkan supaya dekati remaja dengan rasa ingin tahu dan bertanya soalan asas, seperti: “Pernahkan awda mendengar aplikasi ‘AI sebagai teman’? Adakah awda menggunakannya seolah-olah seperti berbual dengan rakan?”

    Cuba dengar dan fahami jawapan dari anak-anak sebelum memandang rendah atau terus menyatakan kebimbangan awda dengan tingkah laku mereka.         

    Selain itu, ibu bapa boleh membantu sedarkan remaja bahawa ‘teman AI’ adalah selalunya diprogramkan untuk sentiasa bersetuju dan mengesahkan apa sahaja situasi yang diterima sebagai input.

    Oleh itu, jelaskan kepada remaja bahawa ‘interaksi dengan teman AI’ yang sedemikian bukanlah cara hubungan sebenar berfungsi dan sebaliknya, hanya komunikasi dengan manusia sebenar (contohnya: rakan baik) yang berkongsi pandangan yang jujur boleh membantu mengatasi situasi yang sukar.

    “Salah satu perkara yang benar-benar membimbangkan adalah berapa lama masa yang telah kanak-kanak habiskan dan semakin menjauhkan diri daripada hubungan dalam kehidupan sebenar,” kata Mitch Prinstein, ketua psikologi di Persatuan Psikologi Amerika (APA). “Kita perlu mengajar kanak-kanak bahawa ‘interaksi dengan AI’ adalah hanya satu bentuk hiburan. Ia tidak benar, dan sangat penting mereka membezakannya daripada realiti dan tidak sepatutnya menggantikan hubungan dalam kehidupan sebenar mereka.”

    APA baru-baru ini juga turut mengeluarkan nasihat kesihatan tentang AI dan kesejahteraan remaja, dan panduan untuk ibu bapa.

    Antaranya adalah, ibu bapa boleh menetapkan peraturan tentang penggunaan AI, sama seperti peraturan yang mereka lakukan untuk masa skrin atau screen time selain membuat perbincangan tentang menetapkan peraturan bila dan bagaimana alat AI boleh dan tidak boleh digunakan.

    Memandangkan banyak ‘teman AI’ direka untuk kegunaan dewasa, maka anak-anak perlu memahami bahawa alat ini tidak dilengkapi kebolehan untuk mengendalikan krisis sebenar atau memberikan sokongan kesihatan mental yang tulen.

    Jika anak-anak bergelut dengan kemurungan, kegelisahan, kesunyian, gangguan makan atau cabaran kesihatan mental lain, makan mereka memerlukan sokongan manusia yang sebenar sama ada daripada ahli keluarga, rakan atau profesional kesihatan mental.

    ‘Saya fikir tidak ramai orang cukup memahami apa yang AI boleh lakukan, berapa banyak remaja yang sedang menggunakannya dan mengapa keadaan ini mula semakin menakutkan,’ tambah Prinstein, sebagai salah seorang pakar yang sentiasa menyeru keselamatan untuk kanak-kanak.

    Seorang remaja juga turut mempunyai nasihat untuk ibu bapa. ‘Mengharamkan sepenuhnya alatan AI’ bukanlah penyelesaian kerana teknologi itu semakin meluas, kata Ganesh Nair, 18.

    “’Menghalang menggunakan AI’ adalah sama seperti melarang menggunakan media sosial pada masa hari ini. Ia terlalu sebati dalam semua yang kami lakukan,” kata Nair, yang cuba berundur daripada menggunakan ‘teman AI’ setelah persahabatan dalam kehidupan sebenar di sekolah menengahnya telah mula terjejas. “Cara terbaik awda boleh cuba mengawalnya adalah dengan biasakan diri menerima ‘cabaran hidup’.”

    “Apa sahaja yang sukar, AI boleh memudahkan. Tetapi itulah masalahnya,” kata Nair. “Hadapilah cabaran secara aktif, sama ada akademik atau peribadi. Jika awda sering mencari ‘jalan mudah’ adalah lebih baik, maka sebenarnya awda adalah yang ‘mangsa yang paling terdedah’ dalam dunia AI masa kini.” – AP

    Satu demonstrasi aplikasi Character AI, satu perisian chatbot kecerdasan buatan.- AP 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda