Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Beberapa buah stesen minyak di seluruh negara dijadualkan untuk ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi Januari 2024.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyatakan bahawa langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi bagi sebelah pagi dan 2 petang bagi sebelah petang hingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar dua jam.
Stesen-stesen minyak yang terlibat di Daerah Brunei dan Muara adalah Syarikat Stesen Minyak Berakas pada 9 Januari, Syarikat Stesen Minyak Tumasek (10 Januari) dan Syarikat Stesen Minyak Mar’azmala (11 Januari), bagi Daerah Belait pada 11 Januari di Syarikat Stesen Minyak Syarikat Perniagaan Melayu Sdn Bhd, Shell Service Station, bagi Daerah Tutong pada 17 Januari di Syarikat Stesen Minyak Kampung Keriam (Pakatan Tutong) serta bagi Daerah Temburong pada 18 Januari di Syarikat Stesen Minyak Batang Duri.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu merupakan pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.