Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Penglihatan anak bulan Syawal bagi tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi akan diadakan pada 20 April ini di seluruh negara.
Mahkamah Rayuan Syariah, memaklumkan bahawa penglihatan anak bulan Syawal akan dijalankan di Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuh raya Tungku; dan tempat-tempat lain yang ditetapkan iaitu Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; Bukit Agok, Jerudong; Bukit Ambog, Daerah Tutong; dan Bukit Lumut, Daerah Belait.
Pada hari tersebut, hakim-hakim syarie dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama para pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan akan berada di tempat-tempat yang ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Syawal 1444 Hijrah).
Berikutan dengan itu, pengumuman satu Syawal (Hari Raya Aidilfitri) bagi tahun ini akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang tersebut diperoleh melalui pihak berkenaan.