Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beberapa terkorban, hilang akibat Ribut Boris di Eropah

    GLUCHOLAZY, 15 SEPT – Seorang individu lemas di Poland manakala seorang anggota bomba Austria meninggal dunia semasa bertugas menangani banjir, kata pihak berkuasa hari ini, ketika Ribut Boris melanda tengah dan timur Eropah dengan hujan lebat.

    Sejak Khamis, sebahagian besar kawasan di Austria, Republik Czech, Hungary, Romania, dan Slovakia telah dilanda angin kencang dan hujan lebat luar biasa.

    Ribut tersebut telah menyebabkan kematian empat orang di Romania, dan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dari rumah mereka di seluruh benua itu.

    “Kami telah mengesahkan kematian pertama akibat lemas, di wilayah Klodzko” di sempadan Poland-Czech, kata Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, hari ini.

    Tusk sedang melawat kawasan barat daya negara itu yang paling teruk dilanda banjir.

    Sungai Wienfluss melimpahi kawasan Hietzing di Vienna, Austria, pada 15 September. – AFP

    Sekitar 1,600 orang telah dipindahkan di Klodzko, dan pihak berkuasa Poland telah memanggil tentera untuk membantu pasukan bomba di tempat kejadian.

    Seorang anggota bomba di timur laut Austria meninggal dunia dalam banjir di wilayah Lower Austria, yang telah diklasifikasikan sebagai zon bencana alam.

    “Malangnya, seorang anggota bomba telah meninggal dunia ketika bertugas,” kata Johanna Mikl-Leitner, gabenor Lower Austria, kepada wartawan, hari ini.

    Perkhidmatan kecemasan telah melakukan hampir 5,000 operasi kecemasan sepanjang malam di negeri Lower Austria, di mana banjir telah menyebabkan ramai penduduk terperangkap di rumah mereka.

    Pihak berkuasa Poland menutup lintasan sempadan Golkowice dengan Republik Czech selepas sebuah sungai melimpahi tebingnya, kelmarin.

    Beberapa jalan raya juga ditutup, dan perkhidmatan kereta api di laluan yang menghubungkan bandar Prudnik dan Nysa turut dihentikan.

    Di kampung berhampiran Glucholazy, Zofia Owsiaka menyaksikan dengan ketakutan apabila air deras dari sungai Biala yang melimpah meningkat dengan pantas.

    “Air adalah kuasa alam yang paling kuat. Semua orang takut,” kata Owsiaka, 65, kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda