Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bebola api’ terangi langit Mexico

    MEXICO, 17 APRIL – Sebuah objek terang yang pada mulanya disangka sebagai meteorit telah menerangi langit di bandar Mexico sekitar jam 3 pagi kelmarin, hingga cahayanya merentasi daratan, gunung berapi dan pekan-pekan kecil.

    Video menunjukkan bebola api meluncur di langit negara Amerika Latin itu sebelum larut dalam pancaran cahaya di atas bandar Mexico, mencetuskan rasa kagum dalam kalangan orang ramai dan menjadi bahan jenaka serta meme di media sosial.

    Namun, para saintis di seluruh Mexico dengan menjelaskan objek yang meluncur di langit itu bukanlah meteorit, tetapi sebuah bolide.

    Bolide, yang didefinisikan oleh NASA sebagai bebola api, merupakan “meteorit yang sangat terang dan cukup menakjubkan untuk dilihat dari kawasan yang sangat luas.”

    Dr Mario Rodríguez, pakar sains angkasa lepas dari Universiti Autonomi Nasional Mexico, berkata objek itu juga boleh digambarkan sebagai meteoroid, iaitu serpihan dari meteorit.

    Gambar Freepik

    Bolide seperti yang dilihat merentasi di ruang udara Mexico pada awal pagi kelmarin telah mencetuskan api ketika ia jatuh ke Bumi.

    “Disebabkan tekanan yang tinggi ke atas objek tersebut, ia mula memancarkan cahaya berekor,” kata Rodríguez, salah seorang saintis yang sedang mengkaji video kejadian yang mengejutkan ramai rakyat Mexico itu.

    Beliau menjelaskan, tidak seperti meteorit yang menghentam permukaan Bumi, bolide akan hancur di atmosfera.

    Meteoroid tersebut, dianggarkan berukuran sekitar 1.5 meter dan objek itu tidak memberi ancaman kepada orang awam. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda