KUALA NERUS, 11 Julai – Per-khidmatan beca letrik yang mengekalkan ciri-ciri tradisio-nal bakal diperkenalkan di tiga lokasi tumpuan pelancong di Terengganu September ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata basikal letrik berharga RM8,000 hingga RM10,000 itu, akan beroperasi di Syahbandar, Kampung Cina dan Pulau Warisan.
“Sebagai permulaan, empat beca telah diserahkan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan operasi dan pengayuhnya adalah golongan muda.
“Jumlah tiket adalah sekitar RM15 hingga RM20, namun bergantung kepada jarak perjalanan dan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mencuba dan mengayuh sendiri beca tersebut di Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Pelancongan Negeri di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Razif yang juga Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata pihaknya menyediakan kaedah sewa beli bagi memberi serta membuka peluang penglibatan individu dan syarikat korporat untuk merancakkan sektor pelancongan serta menceburi bidang perniagaan.
Ketika ditanya adakah basikal tersebut mempunyai kualiti tersendiri dan berpotensi menaikkan semula industri beca di sini, beliau berkata, “basikal ini lebih ringan dan sekurang-kurangnya kita masih mampu mengekalkan nostalgia pengayuh beca di Terengganu ini…dengan cara moden, namun masih kekalkan ciri-ciri tradisional.”
Sementara itu mengenai kemasukan pelancong, Ahmad Razif berkata dalam tempoh penggal pertama tahun ini, jumlah pelancong amat memberangsangkan terutama di kawasan pulau, sehingga 30 peratus berbanding tahun lepas.
“Kebanyakan mereka yang hadir adalah dari Singapura, China dan juga dalam negara. Ia adalah hasil berterusan pihak kerajaan negeri dalam mempromosikan Visit Beautiful Terengganu,” katanya.
Keadaan tersebut, katanya, turut menunjukkan perkemba-ngan positif dalam usaha mencapai sasaran lima juta pelancong tahun ini. – Bernama