DHAKA – Hijau terang dan kuning berlingkar, bintang filem, burung dan seni bina: Pemandu beca basikal Bangladesh selama berdekad-dekad telah menggunakan pengangkutan mereka sebagai kanvas bergerak unik seni rakyat bandar.
Namun ramai yang bimbang walaupun telah dimasukkan oleh agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bulan ini ke dalam senarai warisan budaya tidak ketaranya, kraf berwarna-warni itu semakin pudar apabila berhadapan dengan beca bermotor yang lebih pantas dan moden.
Mekanik beca, Mohammad Sabuj, 40, berkata dia mengesali dengan kemerosotan lukisan ‘cantik’, yang menghiasi penutup gerabak kenderaan, tempat duduk dan tempat letak kaki.
“Ia semakin jarang dilihat pada masa kini,” katanya. “Ketika saya masih muda, beca dihiasi seni dan reka bentuk yang berwarna-warni – tetapi pada masa kini trend tersebut telah berkurangan.”
Pemandu beca Shahid Ullah, 72, telah mengayuh basikalnya selama setengah abad melalui jalan yang sesak dan sempit di Dhaka, sebuah bandar yang mempunyai penduduk sekitar 20 juta orang.







Namun apabila orang ramai beralih kepada kereta dan bas untuk pengangkutan – atau beca bermotor buatan China tanpa ruang yang sama pada bingkai untuk menghiasi seni itu – perniagaannya semakin lenyap.
SENI PUPUS
Ullah mengalu-alukan keputusan UNESCO bulan ini untuk mengiktiraf seni itu, yang disebutnya sebagai ‘bahagian utama tradisi budaya bandar dan bentuk seni rakyat bandar yang dinamik, memberikan penduduk rasa identiti bersama’.
Seni beca adalah salah satu daripada berpuluh-puluh amalan yang disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada 6 Disember, di samping nyanyian opera Itali, hidangan makanan laut ceviche Peru, perayaan Tahun Baharu Songkran Thailand dan tenunan kain sarung tradisional Ivory Coast.
“Ia satu perkara yang baik untuk kita,” kata Ullah. “Kami berasa bangga.”
Ketua UNESCO Asia Selatan, Tim Curtis berkata lukisan beca ‘berdepan ancaman’, dan penyenaraian itu akan membantu meningkatkan kraf itu dengan ‘mencari cara inovatif dan mampan untuk mengekalkan warisan hidup ini’.
Peningkatan kos bahan api dan barangan asas lain telah menjejas teruk industri ini, kata mekanik Sabuj.
“Pemandu perlu membayar lebih kepada pemilik beca berbanding sebelum ini dan reka bentuk juga memerlukan lebih banyak wang sekarang,” katanya.
Bergantung pada kerumitan corak dan reka bentuk, mengecat menelan kos antara AS$45 hingga AS$90 – sebanyak satu pertiga daripada kos beca basikal baharu, yang berharga sekitar AS$230 hingga AS$270.
Kos mengecat biasanya ditanggung oleh pemilik, yang menyewakan basikal kepada pemandu.
Beca bermotor baharu lebih mahal – berharga antara AS$750 hingga AS$900 – akan tetapi ia dilihat sebagai memperoleh pulangan yang lebih cepat.
Abdul Motaleb, seorang lagi pemandu beca, berkata orang ramai mengagumi seni itu tetapi masih menggunakan pengangkutan moden termasuk sistem metro yang penuh sesak.
“Orang ramai lebih suka kenderaan yang lebih laju, ” kata Motaleb.
Artis beca Hanif Pappu, 62, berkata bilangan anak muda yang datang untuk mempelajari perniagaan itu telah merosot.
“Sekarang tiada siapa menghantar anak mereka untuk mempelajari seni ini,” katanya. “Mereka melihat pelatih sendiri pun hidup kelaparan.”
Bagi Pappu, penyenaraian UNESCO tidak akan menghentikan kemerosotan seni itu.
“Ia datang terlalu lewat,” katanya. “Lukisan beca semakin pupus di negara ini.”
CIPTAAN ASLI
Dengan beca mencelah-celah melalui jalan raya Dhaka yang kelam-kabut, Pappu berkata lukisan itu merupakan pameran seni bergerak yang membawa mesej pencipta kepada penonton bergerak.
“Lihat ini, ia adalah mesej keamanan,” katanya sambil menunjukkan lukisan pemandangan desa yang tenang dengan burung dan sebuah rumah yang menurutnya adalah peringatan di bandar yang sibuk tentang kawasan perkampungan yang telah ditinggalkan oleh penduduk untuk mencari pekerjaan.
“Ia mesej keluarga bahagia,” tambahnya. “Kami cuba memberikan mesej sedemikian dalam kerja kami.”
Dia berasa bangga dengan ciptaan berwarna-warni, yang telah dilukisnya sejak kecil, mengimbau kembali bagaimana poster filem pernah menjadi rekaan popular satu masa dahulu.
“Ia adalah warisan Bangladesh,” katanya. “Ia adalah ciptaan asli kami sendiri.”
Namun Pappu bimbang untuk masa depan. “Saya boleh meninggalkan kerja ini disebabkan penderitaan yang saya hadapi, tetapi saya tidak melakukannya kerana saya merasakan ia kini sudah sebati dalam jiwa saya. Adakah sesiapa akan kekal dalam profesion ini selama 55 tahun seperti saya?” katanya.
“Jika trend ini berterusan, industri ini akan lenyap. Ia tidak akan bertahan.” – AFP

