LONDON, 25 SEPT – Bekas pemain tenis Jerman, Boris Becker mengakui dia menyesal menjuarai Wimbledon ketika berusia 17 tahun disebabkan dia bergelut mengawal tekanan serta jangkaan tinggi selepas kejayaan sulung Grand Slam itu.
Becker menewaskan Kevin Curren dalam final Wimbledon 1985 di All England Club sekali gus muncul juara perseorangan lelaki termuda kejohanan berprestij itu. Pemain yang terkenal dengan gaya permainannya yang unik itu kemudian menambah lima lagi gelaran Grand Slam termasuk kejuaraan Wimbledon 1986 dan 1989 selepas kejayaan pertamanya.
“Kalau awda ingat mana-mana ‘budak ajaib’, kebiasaannya mereka tidak bertahan sehingga umur 50 kerana cabaran dan dugaan selepas itu,” beritahu Becker, 57, kepada BBC Sport, kelmarin.
“Apa sahaja yang awda lakukan, ke mana sahaja awda pergi, dengan siapa awda bercakap, ia akan menjadi sensasi dunia. Ia menjadi tajuk utama akhbar penting esoknya.
“Sedangkan awda hanya cuba menjadi matang, cuba mencari haluan hidup,” katanya.

Becker turut melalui kehidupan sukar di luar gelanggang apabila berdepan masalah peribadi dan kewangan. Pada 2022, dia menjalani hukuman penjara lapan bulan di England selepas dijatuhi hukuman dua tahun enam bulan kerana menyembunyikan aset dan pinjaman berjumlah £2.5 juta (AS$3.3 juta) bagi mengelak membayar hutang.
“Apabila memulakan kerjaya kedua, semua perkara dibandingkan dengan kejayaan menjuarai Wimbledon pada usia 17 tahun. Itu benar-benar mengubah haluan hidup saya,” katanya. “Saya gembira menjuarai tiga kali, tetapi mungkin 17 tahun terlalu muda. Saya masih seorang kanak-kanak,” jelasnya.
Becker, yang bersara pada 1999, pernah melatih Novak Djokovic antara 2013 hingga 2016.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut diusir keluar dari United Kingdom selepas dibebaskan dari penjara.
“Saya terlalu selesa. Saya terlalu banyak wang. Tiada siapa berkata ‘tidak’ kepada saya.
“Semua boleh dicapai. Hakikatnya, ia adalah resipi menuju kehancuran,” katanya.
“Jadi, awda perlu bertanggungjawab atas tindakan sendiri kerana kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Masa lalu tidak boleh diubah. Yang boleh diubah hanya masa depan kerana kita hidup pada hari ini.” – AFP

