Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beckham hadir pengebumian bekas jurulatih England

    SWEDEN, 13 SEPT – Bintang bola sepak England, David Beckham, tiba di Sweden kelmarin bagi menghadiri pengebumian bekas jurulatih kebangsaan England, Sven-Goran Eriksson.

    Eriksson meninggal dunia pada 26 Ogos lalu pada usia 76 tahun, lapan bulan selepas mendedahkan dirinya menghidap kanser pankreas dan dijangka hidup kurang dari setahun.

    Beckham, yang menjadi kapten England di bawah pimpinan Eriksson dari 2001 hingga 2006, sempat melawat jurulatihnya di Sweden pada Jun lalu.

    Menurut agensi berita Sweden, TT, Beckham mendarat di Lapangan Terbang Karlstad pada petang kelmarin, kira-kira 310 kilometer dari Stockholm. Beckham juga dilaporkan mendaftar masuk ke sebuah hotel di Karlstad, yang terletak berhampiran bandar Torsby di mana pengebumian akan diadakan hari ini di gereja Fryksande, yang boleh memuatkan 600 orang.

    Torsby terletak di wilayah Varmland, tempat Eriksson dibesarkan dan meninggal dunia.

    Selepas upacara di gereja, keranda akan diiringi melalui perarakan muzik sejauh 700 meter ke sebuah muzium di Torsby yang menampilkan rumah kayu tradisional. Di sana, beberapa ucapan penghormatan akan diberikan.

    “Satu penghormatan untuk dapat hadir ke pengebumiannya, walaupun ini adalah hari yang sedih,” kata Roy Hodgson, bekas pengurus England yang turut tiba di Torsby kelmarin, kepada akhbar tempatan Warmlands Folkblad. – AP

    Gambar fail Sven-Goran Eriksson (kiri) dan pemain David Beckham bergambar semasa sesi latihan, di Manchester, England, 1 Jun 2006. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda