Kate Beckinsale dilaporkan berada di hospital sejurus selepas majlis penyampaian Anugerah Golden Globes yang berlangsung pada 7 Januari lalu.
Di samping beberapa siri gambar dari permaidani merah dan pertunjukan anugerah, pelakon Underworld dan Pearl Harbor itu berkongsi imej dirinya sedang duduk di dalam bilik hospital, masih memakai gaun Atelier Zuhra bertatahkan kristal, sedang memakan burger bersama beberapa orang lain di sekitar katil pesakit.
“Golden Globes 2024 dari awal hingga akhir,” tulisnya sebagai kapsyen dalam satu catatan di laman media sosial.
Beckinsale tidak mendedahkan sebab lawatannya ke hospital.
Dia kemudian menulis lagi satu catatan pada Rabu lalu yang menunjukkan petak hitam tanpa kapsyen.
Catatan samar itu menimbulkan kebimbangan pengikutnya terhadap kesihatan bapa tirinya, pengarah TV British, Roy Battersby, di mana menurut Daily Mail, beliau telah dimasukkan ke hospital pada Disember selepas diserang angin ahmar. Dia juga didiagnosis dengan dua jenis kanser, lapor pihak media tersebut.
Pada Ogos, apabila menyiarkan tentang kematian Clive, kucingnya yang terkenal di media sosial, Beckinsale juga menyiarkan gambar dari hospital, menunjukkan seorang individu warga emas yang tidak dinamakan sedang menjalani imbasan dan prosedur lain.
“Isi kesedihan dan kesakitan serta ketakutan awda dengan kehidupan penuh kegembiraan dan perayaan,” dia memberi kapsyen pada foto itu sambil menambah, “Berjuanglah semampu yang awda boleh untuk orang yang awda sayangi.” – ANN/The Star


