MELAKA, 18 MAC – Demi kasih dan sayang, seorang ibu rela mendermakan sebahagian hati untuk anak damit perempuannya yang menghidap Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, namun kini apa yang lebih membimbangkannya dana untuk menampung kos pembedahan itu masih tidak mencukupi.
Noreen Ismail, 35, berkata kira-kira RM180,000 lagi dana diperlukan Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang kini berusia setahun enam bulan untuk membolehkannya menjalani pemindahan hati di China.
Katanya, mereka memerlukan dana keseluruhan berjumlah RM250,000 dan pembedahan itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan hati anaknya menjadi lebih teruk dan pada masa ini, tahap bacaan jaundis anaknya itu melebihi 300.
“Selepas menjalani beberapa prosedur, hati saya didapati sesuai untuk diberikan kepada Nur Khayla dan doktor mengatakan hanya dua peratus hati saya yang diperlukan untuknya pada pembedahan itu, manakala keseluruhan hatinya akan dibuang.
“Buat masa ini, tiada tarikh tetap diberikan untuk Nur Khayla menjalani pembedahan, namun semuanya bergantung pada dana yang berjaya dikutip sehingga mencukupi,” katanya kepada pemberita di Taman Desa Baru, Bukit Baru di sini, hari ini.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Nor Komariah Mohd Khalid Lourdes Lio, 40, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Dak Nor’ yang menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 hasil jualan amal mi siput untuk Nur Khayla melalui laman sosial TikTok selain dihadiri Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mengulas lanjut, Noreen berkata Nur Khayla pernah melakukan Kasai Procedure sebagai kaedah pertama iaitu pembedahan membuang duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus ke hati, namun dia tidak boleh bertahan sehingga dewasa dan tetap memerlukan pemindahan hati.
“Doktor pakar juga memberitahu keadaan Nur Khayla kini berada dalam keadaan sangat baik dan bersedia untuk menjalani pembedahan, selain peluang untuk pembedahan itu berjaya ialah 94 peratus dan peluang untuk sembuh juga adalah tinggi.” – Bernama
