ALOR SETAR, 13 NOV – Sembilan daripada 26 mangsa bot karam yang maut di perairan Langkawi selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), setakat semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 12 mayat telah dihantar ke HSB dengan sembilan daripada selesai proses bedah siasat manakala 14 lagi masih di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
“Penghantaran kali pertama ke HSB melibatkan satu mayat, iaitu pada hari pertama operasi dijalankan pada Ahad, manakala penghantaran kedua pada Selasa yang melibatkan 11 mayat.
“Semua mayat yang dijumpai itu masih berada di hospital dan belum diserahkan kepada mana-mana pihak lagi. Mayat yang masih berada di Langkawi juga akan dibawa ke Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata pada masa ini, semua mayat berkenaan masih belum dikebumikan lagi.
“Kita telah maklumkan kepada pihak kedutaan tetapi tiada maklum balas sehingga kini. Jadi, kita akan berbincang dengan pejabat agama berhubung perkara (kebumi) berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah dilancarkan susulan insiden sebuah daripada tiga bot yang dipercayai membawa kira-kira 300 imigran karam berhampiran Pulau Tarutao, di perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan operasi CARILAMAT yang memasuki hari kelima disambung semula pada 7:30 pagi yang melibatkan kawasan seluas 260.15 batu nautika persegi dengan pembahagian sebanyak 12 sektor pencarian. – Bernama


