Pasangan pelakon, Beego dan Linda Hashim hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak mereka.
Ia berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April lalu selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 39, dan Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 43, dilihat bersama-sama hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan beberapa tuntutan berkaitan.
Sebelum ini timbul khabar angin keretakan rumah tangga pasangan ini yang dilihat jarang
berkongsi gambar bersama di sosial media.
Namun pada Isnin, pasangan berkenaan berkongsi foto bangunan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) dalam Facebook mereka dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut yang mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan.
Untuk rekod Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata. – Agensi