Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beg galas solar bantu pembelajaran pelajar di Botswana

    GABORONE – Pada minggu pertama April, kanak-kanak yang kurang bernasib baik di desa-desa Botswana seperti Tshono, Mokhomba, Lefoko dan Sevrelela akan menerima Chedza Solar Backpacks yang membolehkan mereka belajar pada waktu malam.

    Direka oleh Ked-Liphi, beg galas solar ini menggunakan kanvas tahan lasak dan kalis air serta dilengkapi dengan panel solar yang menyerap cahaya matahari pada waktu siang.

    “Bateri boleh meningkatkan kuasa alat elektrik seperti telefon, tablet, serta lampu suluh LED dalam beg yang boleh bertahan sehingga tujuh jam dan boleh meningkatkan pengecasan alat mudah alih kepada 40 peratus,” kata pencipta inovatif Chedza Solar Backpacks, Kedumetse Liphi.

    Beg galas solar itu dijangka meningkatkan prestasi akademik pelajar luar bandar yang tidak mempunyai bekalan elektrik di samping mengurangkan kos lilin dan parafin untuk ibu bapa dan penjaga yang hampir tidak mampu membelinya.

    Pada tahun 2021, Liphi memutuskan untuk memanfaatkan tahap sinaran suria yang tinggi di Botswana untuk membuat beg galas. Bekerjasama dengan pekerja sosial yang mengenal pasti pelajar paling memerlukan, Liphi akan menyumbangkan sebahagian daripada 80 beg yang telah dihasilkannya.

    Kedumetse Liphi, pencipta inovatif Chedza Solar Backpacks ketika ditemui pemberita di Gaborone, Botswana. – Xinhua

    Selain membolehkan pelajar luar bandar belajar pada waktu malam, Liphi percaya inovasi yang telah menarik minat korporat, perkhemahan dan individu ini akan mengurangkan bil elektrik Botswana, serta pencemaran.

    “Chedza ialah perkataan Kalanga yang bermaksud cahaya dalam Bahasa Inggeris atau lesedi dalam Setswana. Oleh itu, mandat kami adalah untuk menerangi Afrika, dan masa depan kanak-kanak menggunakan inovasi ini,” tambahnya.

    Untuk mempengaruhi keputusan besar dalam peralihan tenaga berterusan, Liphi berkata syarikat yang dibiayai sendiri boleh melakukannya dengan pembiayaan dan sokongan, kerana kebanyakan komponen elektrik diimport dari China.

    Apa yang mengehadkan usahanya untuk penghasilan besar-besaran adalah hakikat bahawa inovasi sebegini memerlukannya untuk memiliki kilang pembuatan sendiri.

    “Ini akan membantu kami dengan kawalan kualiti dan akan memastikan penurunan harga produk,” katanya.

    Menurutnya, pembiayaan sendiri adalah satu cabaran, justeru keadaan agak perlahan. Walaupun berdepan masalah kewangan, Liphi tidak berputus asa kerana sejak kecil lagi, dia gigih membangunkan sesuatu yang akan memberi impak kepada dunia.

    Elektrik Botswana kebanyakannya dijana arang batu. “Tenaga boleh diperbaharui adalah masa depan tenaga untuk negara kita dan Afrika secara keseluruhan kerana ia murah dan kita mempunyai sinaran matahari,” katanya.

    Semasa menyampaikan ucapan negara tahun lalu, Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi, mengenal pasti teknologi bersih seperti tenaga suria sebagai kunci komitmen Botswana terhadap pengurangan pelepasan karbon negara. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda