PARIS, 11 JULAI – Beg Birkin pertama yang direka khas oleh jenama mewah Perancis, Hermes, untuk selebriti Jane Birkin, berjaya dilelong pada harga 8.58 juta euro (AS$10 juta).
Bidaan itu diterima dalam satu acara lelongan anjuran Sotheby’s di Paris,
kelmarin, sekali gus mencipta rekod baharu sebagai beg tangan termahal pernah dijual di dunia.
Rekaan klasik moden itu, yang dimiliki oleh seorang pengumpul beg tangan berpangkalan di Paris, mencetuskan persaingan sengit bidaan dalam talian.
Bidaan mencecah sehingga tujuh juta euro, sebelum dimuktamadkan pada harga 8.58 juta euro termasuk komisen dan yuran, menurut laman sesawang Sotheby’s.
“Selepas beberapa minggu penuh debaran, bidaan dibuka pada sejuta euro, membuatkan orang ramai di bilik lelongan tercengang,” menurut kenyataan Sotheby’s.

Pembeli akhir yang menewaskan lapan pesaing lain dikenal pasti sebagai seorang ‘pengumpul koleksi peribadi dari Jepun,” kata aplikasi lelongan berkenaan tanpa memperincikan butiran lanjut.
Rekod sebelumnya bagi beg tangan termahal dalam sejarah lelongan dipegang oleh beg Hermes Kelly 28, yang diperbuat daripada kulit buaya bertatahkan berlian. Ia dijual pada harga AS$513,000 pada 2021 dalam satu acara lelongan Christie’s di Hong Kong.
Sebelum ini, Sotheby’s menjangkakan prototaip Birkin berkenaan akan memecah rekod semasa. Namun, tanda harga yang mengejutkan bagi barangan yang sudah digunakan itu dilihat seiring dengan cita rasa dunia fesyen masa kini yang lebih menonjol dan mewah.
Selepas beberapa tahun gaya ‘kemewahan senyap’ mendominasi pentas peragaan, pereka kini dilihat cenderung kepada gaya lebih mencolok, yang digelar sesetengah penganalisis trend sebagai era ‘boom boom’.
Beg Birkin moden masa kini ditawarkan secara eksklusif oleh Hermes kepada pelanggan setia, dengan harga permulaan sekitar AS$10,000. – AFP