TOKYO, 1 NOV – Peruncit Jepun termasuk pasar raya dan kedai runcit akan diwajibkan mengenakan bayaran untuk beg plastik bermula musim panas akan datang sebelum Olimpik Tokyo, umum satu panel kerajaan hari ini.
Tindakan itu membawa Jepun menyertai negara-negara yang telah pun melaksanakan langkah mesra alam itu, namun ia hanya akan berkuat kuasa pada Julai 2020.
Tidak adanya harga tetap untuk beg, dengan setiap peruncit boleh memutuskan harga yang dikenakan.
Kerajaan akan berusaha ‘memupuk tabiat di kalangan pengguna untuk membawa beg’ dan membantu mereka memahami tindakan sebagai ‘satu langkah ke arah mengubah gaya hidup mereka,’ menurut dokumen pelan.
Ia dilakukan selepas ekonomi utama G20 mencapai satu perjanjian pada Jun untuk mengurangkan buangan plastik marin pada mesyuarat di negara tuan rumah Jepun.
Pekempen mengkritik negara Asia Timur kerana bertindak terlalu perlahan untuk mengurangkan penggunaan plastik, terutamanya memandangkan ia menghasilkan lebih banyak buangan plastik per kapita berbanding mana-mana negara selain dari Amerika Syarikat, menurut PBB.
Jepun mempunyai sistem pengurusan sampah yang baik, dan kerajaan berkata 86 peratus daripada buangan plastik dikitar semula.
Namun kebanyakan ‘proses kitaran’ tersebut membabitkan pembakaran plastik, selalunya untuk menghasilkan tenaga – satu proses yang mengeluarkan karbon dioksida dan menyumbang kepada perubahan iklim.
Jepun mengeksport 10 peratus daripada buangan plastiknya untuk kitaran luar negara. – AFP