Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-5 tahun, Begawan Fixed Gear telah mengadakan majlis sambutan di perkarangan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), baru-baru ini.
Hadir semasa itu ialah pengasas kumpulan berkenaan, Dayang Roslinda binti Haji Mawang yang sekali gus menyampaikan cenderahati kepada ketua kumpulan berkenaan, Awang Hassanal Arif bin Yaakub.
Matlamat utama acara berkenaan adalah untuk menarik minat masyarakat terutama para belia di negara ini untuk bergiat aktif dalam sukan berbasikal dengan gaya yang sihat.
Majlis sambutan tersebut turut diserikan dengan aktiviti Program Zero Waste Brunei iaitu sokongan terhadap penggunaan bahan-bahan yang boleh digunakan semula seperti straw boleh digunakan semula bagi menggantikan straw plastik yang digunakan sekali.
Ini adalah sejajar dengan saranan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dan Projek Big BWN demi mengurangkan penggunaan bahan-bahan plastik dalam kalangan masyarakat di negara ini.
