Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beijing batalkan ratusan penerbangan akibat angin kencang

    BEIJING, 13 APRIL – Angin kencang melanda Beijing dan beberapa kawasan di utara China kelmarin, menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan, tempat pelancongan ditutup dan perkhidmatan kereta api digantung, lapor media rasmi negara itu.

    Menurut Pentadbiran Meteorologi China (CMA), angin kuat tersebut berpunca daripada sistem pusaran sejuk yang terbentuk di Mongolia dan bergerak ke arah timur dan selatan, melintasi utara China bermula Jumaat hingga hujung minggu.

    “Angin paling kuat dijangka berlaku pada waktu siang, 12 April, dengan kelajuan angin di beberapa stesen pemerhatian menghampiri atau bahkan melepasi rekod sejarah bagi tempoh yang sama sejak tahun 1951,” kata CMA dalam satu kenyataan.

    Beijing sebelum ini telah mengeluarkan amaran jingga tahap kedua tertinggi untuk angin kencang hujung minggu ini, yang merupakan amaran pertama dalam tempoh sedekad.

    Setakat pagi Sabtu, sebanyak 413 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing telah dibatalkan, menurut penyiar rasmi CCTV.

    Seorang lelaki melepasi deretan basikal yang tumbang akibat angin kencang di Beijing, China, pada 12 April. – AFP

    Perkhidmatan kereta api termasuk laluan ekspres ke lapangan terbang dan beberapa laluan kereta api berkelajuan tinggi turut digantung, tambah CCTV.

    Beberapa lokasi pelancongan utama termasuk Summer Palace, Temple of Heaven, Zoo Beijing dan taman tema Universal Studios juga ditutup sementara kelmarin.

    Hampir 300 pokok tumbang di ibu negara China dan 19 kenderaan dilaporkan rosak akibat angin kencang, namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan di Beijing, menurut CCTV.

    China merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau di dunia, yang menurut saintis menjadi punca perubahan iklim serta meningkatkan kekerapan dan intensiti cuaca ekstrem.

    Tahun lalu, puluhan orang terkorban dan ribuan penduduk dipindahkan akibat ribut yang menyebabkan banjir besar di beberapa wilayah negara itu.

    Pada bulan Mei, sebuah lebuh raya di selatan China runtuh, selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari, mengorbankan 48 orang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda